Kota Kinabalu : U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima peralatan-peralatan Makerspace bernilai RM50,000 daripada Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) bagi meningkatkan daya saing inovasi dan budaya mencipta.
Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr. Sharmila Mohamed Salleh berkata, sumbangan ini merangkumi pelbagai jenis peralatan Makerspace iaitu komputer, pencetak 3D, Smart TV, pemotong dan pengukir laser, set Arduino dan sebagainya.
“YIM melalui inisiatif pembangunan Ruang Daya Cipta (RDC) bermatlamat sebagai hab perkongsian pengetahuan dan kemahiran.
“Ia termasuklah pengalaman praktikal melalui kaedah Quintuple Helix iaitu gabungan kerajaan, industri, akademia, masyarakat dan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena kunjungan hormat beliau bersama pegawai-pegawai YIM ke Pejabat Naib Canselor bagi mengadakan pertemuan bersama Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor baru-baru ini.
Sharmila juga berharap sumbangan itu dapat memberikan manfaat secara menyeluruh terutama kepada semua warga UMS.
“Saya percaya dengan potensi besar masyarakat negeri Sabah untuk menghasilkan sesuatu ciptaan atau inovasi melalui kemudahan atau akses kepada peralatan-peralatan ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kasim dalam pertemuan tersebut turut merakamkan penghargaan kepada YIM atas sumbangan yang telah diberikan.
“UMS amat berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan oleh YIM. Ini adalah sumbangan kedua yang diberikan YIM kepada U-Science, yang sebelum ini turut menyumbangkan peranti pintar.
“Saya berharap pelajar-pelajar UMS mahupun komuniti di sekitar UMS dapat mengambil peluang serta memanfaatkan dengan baik peralatan Makerspace ini,” katanya.
Komitmen YIM dalam menyokong U-Science UMS melalui sumbangan peralatan Makerspace, menunjukkan kerjasama antara kedua-dua organisasi inovatif ini dalam memastikan daya kreativiti dan penerokaan terus berkembang di Sabah. – SABAH MEDIA