HomeUtamaRegatta Lepa ke-28 berlangsung pada 17-19 Nov di Semporna

Regatta Lepa ke-28 berlangsung pada 17-19 Nov di Semporna

Read Time:2 Minute, 37 Second

KOTA KINABALU: Regatta Lepa ke-28 akan berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 November 2023 di Dataran Regatta Lepa, Semporna.

Regatta Lepa merupakan acara yang diadakan setiap tahun di Semporna dan pada tahun ini, ianya dikelolakan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah bersama-sama dengan Lembaga Pelancongan Sabah dan Pejabat Daerah Semporna.

Tema sambutan acara tahun ini adalah “Regatta Lepa: Lambang Perpaduan Masyarakat Madani”.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, Semporna juga telah lama diiktiraf sebagai salah satu tarikan utama Sabah.

“Selain terdapat pulau-pulau yang menakjubkan dan tempat-tempat menyelam yang indah menjadikannya antara destinasi pelancongan utama di peringkat global malah Semporna juga kaya dengan keindahan alam semula jadi, budaya yang kaya, dan sejarah yang memukau.

“Namun, Semporna bukan hanya tentang kecantikan alamnya. Ini juga adalah rumah bagi masyarakat Bajau Laut yang terkenal dengan kemahiran membuat perahu tradisional, yang dikenal sebagai “Lepa.” Lepa bukan hanya sekadar perahu, tetapi sebuah karya seni yang mewakili warisan dan identiti budaya Semporna,”katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Christina, antara objektif acara ini adalah untuk mengekalkan dan memelihara warisan budaya yang kaya dalam komuniti Bajau, dan untuk memupuk perpaduan yang lebih kukuh di kalangan ahlinya.

“Selain, merangsang ekonomi tempatan dengan memanfaatkan potensi pelancongan sekali gus mempromosikan Semporna sebagai destinasi budaya yang berkembang pesat.

“Acara ini juga memastikan pemeliharaan kemahiran pembuatan bot tradisional untuk generasi masa depan,” jelasnya.

Beliau berkata, seperti pada tahun-tahun sebelumnya, acara ini menawarkan pelbagai aktiviti yang menarik pada ketiga-tiga hari acara diadakan dan tarikan utama adalah Sukan Laut dan Perarakan Lepa Tradisi dan Lepa Berhias di samping acara Sangom Maglami-lami, Pertandingan Budjang Manis dan Lalla Dorongan, Pertandingan Tagungguh, persembahan warna warni kebudayaan masyarakat Bajau Laut, dan banyak lagi.

Antara aktiviti yang akan dijalankan semasa acara itu berlangsung, Christina berkata, pada hari pertama acara, para pengunjung dapat melihat pelbagai acara yang menarik menerusi acara Sanggom Maglami-lami termasuk persembahan koir, pertandingan pemilihan “Budjang Manis & Lalla Dorogan”. Terdapat juga acara perarakan Tanglung berkonsepkan Lepa oleh pelajar-pelajar sekolah di Semporna.

“Hari berikutnya menjanjikan aktiviti yang menarik , termasuklah tarikan utama acara ini iaitu pertandingan dan perarakan masuk Lepa cantik dan Lepa tradisi ke dataran Regatta Lepa di samping acara akhir sukan laut seperti pertandingan kayak, pertandingan tarik tali atas perahu serta terdapat juga pameran-pameran dari Jabatan dan Agensi serta pameran kraftangan yang akan berlangsung dari pagi hingga petang.

“Manakala, pada malam penangguhan acara, akan berlangsung pengumuman dan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang Pertandingan “Budjang Manis” dan “Lalla Dorongan”, serta pengiktirafan juara-juara dalam pertandingan “Lepa Cantik dan Lepa Tradisi”.

“Malam itu juga akan dimeriahkan dengan persembahan oleh artis tempatan dan jemputan, menjelang penutupan yang hebat dengan persembahan bunga api,” katanya.

Jelas beliau, dengan acara ini, kita tidak hanya merayakan warisan budaya, tetapi juga merangsang ekonomi tempatan dan mempromosikan Semporna sebagai destinasi pelancongan yang berkembang pesat.

“Ini juga memberikan peluang bagi generasi masa depan untuk memelihara kemahiran tradisional dalam pembuatan perahu Lepa.

“Saya berterima kasih kepada aemua pihak yabg terlibat menjayakannya, justeru itu, saya menyeru kepada semua untuk memberikan sokongan dan kerjasama bagi kejayaan Regatta Lepa pada tahun ini,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular