Kota Kinabalu : Orang ramai dipelawa hadir untuk memeriahkan pelaksanaan Karnival Baurung-Urung Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) yang akan berlangsung selama dua hari bermula Sabtu ini.
Karnival anjuran PMBS itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dan akan dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Presiden PMBS Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pelbagai acara akan diadakan sepanjang penganjuran karnival termasuk pelancaran tiga buah buku masakan resepi masyarakat Brunei; pameran jualan dan beberapa program lain.
“Karnival yang akan diadakan pada tahun ini akan diserikan dengan pelbagai acara antaranya kita akan mengundang usahawan daripada negara Brunei Darussalam selain gerai pelbagai termasuk makanan dan jualan kraftangan.
“Selain itu, PMBS juga pada tahun ini diberikan peranan untuk menganjurkan bersama Ekspo Halal Sabah dan dalam ekspo itu nanti kita akan adakan Perjanjian Persefahaman antara Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Halal Hab dan beberapa usahawan dari luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri pelancaran logo dan lagu tema Karnival Baurung-urung di sini hari ini.
Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata, pihaknya berharap agar penganjuran karnival itu akan mendapat sambutan seperti tahun lalu yang berjaya mencatat pengunjung lebih 10,000 orang.
“Selain itu, apa yang kita inginkan juga adalah ianya akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dalam kalangan ahli-ahli dan yang sangat penting juga ia akan dapat mempereratkan lagi hubungan antara masyarakat pelbagai kaum di Sabah.
“Sudah pasti PMBS akan turut menyumbang pada usaha pembangunan dan pemerkasaan nilai perpaduan di negeri ini,” katanya.
Antara program lain yang akan diadakan adalah penganugerahan tokoh PMBS; pertandingan akhir gambus; pertandingan menumpah ambuyat; persembahan kulintangan dan pelbagai aktiviti lain. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH