HomeUtamaBeri perhatian sewajarnya kepada isu pembangunan di Kalabakan - Andi

Beri perhatian sewajarnya kepada isu pembangunan di Kalabakan – Andi

Read Time:1 Minute, 38 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan Persekutuan diminta untuk memberi perhatian sewajarnya terhadap beberapa isu pembangunan di kawasan Parlimen Kalabakan.

Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, ia termasuklah isu melibatkan pendidikan di kawasan berkenaan.

“Besarlah harapan saya supaya kerajaan memberikan perhatian bagi menyegerakan pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kalabakan yang pada ketika ini kondisinya adalah sangat usang dan tidak lagi sesuai untuk digunakan oleh para pelajar.

“Dalam masa yang sama, saya juga memohon agar pihak kerajaan memberikan perhatian agar kelas tingkatan enam dan kelas Pendidikan Khas dibuka di sekolah ini memandangkan ianya merupakan keperluan yang sangat mendesak oleh murid-murid yang jumlahnya ramai hinggakan ada di antara mereka terpaksa berpindah ke sekolah lain yang jaraknya melebihi 50 kilometer bagi meneruskan pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan bahas Bajet 2024 di Dewan Rakyat di sini baru-baru ini.

Andi berkata, pihaknya juga memohon agar Kerajaan dapat menyegerakan pembinaan jalan Kampung Pasir Putih ke Tanjung Batu Logpond bagi memberikan kemudahan dan keselesaan kepada penduduk setempat.

Katanya, penduduk setempat pada masa ini berhadapan kesesakan aliran trafik setiap hari memandangkan hanya ada satu jalan perhubungan utama yang digunakan oleh hampir 5,000 orang penduduk.

“Selain itu, isu ‘orang tanpa kerakyatan’ ataupun yang lebih dikenali sebagai Palauh khususnya di Sabah. Jauh untuk menafikan hak asasi kehidupan mereka, namun tindakan yang tuntas perlu direncana dalam menguruskan aspek melibatkan status kerakyatan, kebajikan, pendidikan dan apa jua yang dirasakan perlu melibatkan golongan ini.

“Ini adalah isu semasa yang membelenggu terutamanya di pantai timur Sabah dan tindakan menang-menang perlu kita implimentasi segera,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan berkenaan tahap keselamatan sempadan darat dan laut di Parlimen Kalabakan bagi mengurangkan aktiviti penyeludupan, dadah dan pemerdagangan manusia.

Katanya, kawalan sempadan berada di tahap yang lemah disebabkan oleh kekurangan pos kawalan, kekurangan asset persenjataan, teknologi pertahanan dan bot laju bagi tujuan rondaan.

“Justeru, diharapkan belanjawan pertahanan sejumlah RM19.7 billion dapat menambah aset pertahanan selengkapnya di kawasan ini,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah dijangka alami hujan berterusan mulai Sabtu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular