PENAMPANG: MAYA HEJNOWSKA, 21, yang mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api Kota Kinabalu, berjaya merangkul gelaran Unduk Ngadau Kaamatan 2021.
Gadis berdarah campuran Kadazan-Polish ini meraih tempat pertama selepas menewaskan 21 peserta di peringkat akhir Pertandingan Unduk Ngadau Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2021.
Pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2021 berlangsung di Dewan Kebudayaan Hongkod Koisaan KDCA di sini dan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Kaamatan TV.
Maya yang juga anak kedua daripada tiga adik-beradik dan satu-satunya perempuan kini menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Muzik.
Pemenang tempat pertama UNK 2021 ini berjaya membawa pulang hadiah keseluruhan yang bernilai RM66,830 termasuk wang tunai berjumlah RM25,200.
Beliau turut dipilih sebagai ‘Miss Charming’ melalui undian laman web dan memenangi gelaran Tati Tosuau (Miss Friendly) sempena Malam Gala UNK atau ‘Sodop Pintutunan’ pada 28 Mei lepas.
Dalam pada itu, dua wakil Unduk Ngadau dari Ranau yang mewakili DUN Paginatan dan Kundasang masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga UNK 2021.
Unduk Ngadau DUN Paginatan Dianarin Vahidin memenangi tempat kedua manakala Febby Angelica Richard yang mewakili DUN Kundasang mendapat tempat ketiga.
Naib johan membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM45,280 termasuk wang tunai berjumlah RM12,200 dan tempat ketiga menerima hadiah keseluruhan bernilai RM32,980 termasuk wang tunai RM10,200.
Peserta lain yang layak mendapat tempat keempat hingga ketujuh dalam pertandingan ini termasuklah Lisa Christie Deminic (Tulid), Avril Elvira Roger Anthony (Tanjung Keramat), Sharon Stephen (Kawang), dan Carrey Evanne Kim Lee (Penampang).
Seramai 79 peserta menyertai UNK tahun ini yang diadakan secara tanpa sempadan termasuk empat peserta dari empat negeri di Semenanjung.