HomeUtama60 peserta sertai Program Sosioekonomi, bantu naik taraf ekonomi golongan sasaran

60 peserta sertai Program Sosioekonomi, bantu naik taraf ekonomi golongan sasaran

Read Time:1 Minute, 42 Second

Kota Marudu : Seramai 60 peserta terdiri daripada golongan B40, belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ibu tunggal dan golongan yang tiada pendapatan tetap sekitar daerah ini berjaya menyertai Program Sosioekonomi yang diadakan selama lima hari bermula Isnin lalu.

Program yang dilaksanakan atas inisiatif Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) itu adalah bagi membantu masyarakat di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) dalam menaik taraf sosioekonomi golongan sasaran.

Majlis perasmian disempurnakan Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Harun Durabi dan turut dihadiri Komander Eastern Command Datuk Victor Sanjos.

Program yang berakhir pada hari ini turut mendapat kerjasama Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) sebagai penyedia latihan untuk tiga kursus yang ditawarkan iaitu Kursus Kulinari, Kursus Menjahit dan Kursus Membaiki Telefon Bimbit.

Victor ketika berucap berkata, tujuan program itu adalah untuk memberi kemahiran teknikal dan asas keusahawanan kepada golongan sasaran agar dapat meningkatkan taraf ekonomi diri dan keluarga.

“Kita percaya melalui program peningkatan ekonomi seumpama ini secara tidak langsung akan memberi kesan positif kepada keselamatan negara kerana mewujudkan persekitaran yang lebih stabil dan sejahtera pada sesebuah negara kerana ekonomi yang baik tidak akan menjebak masyarakat untuk terlibat dengan jenayah,” katanya.

Datuk Victor Sanjos

Bersempena dengan program itu juga, turut diadakan penyerahan Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK) bernilai RM10,000 kepada 15 persatuan di Daerah Kota Marudu yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) sebagai titik sentuhan bagi memupuk nilai kesukarelawan dalam memperkasa keselamatan komuniti.

Di samping itu, turut diadakan pameran dari pelbagai agensi kerajaan termasuklah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Amanah Ikhtiar Malaysia, Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta demonstrasi kemahiran selain sesi pocket talk oleh ESSCOM.

Dianggarkan lebih 700 orang dari daerah-daerah di ESS Zone telah menyertai dan mendapat manfaat daripada program anjuran ESSCOM sejak tahun 2020 hingga 2023.

Hadir sama Pegawai Daerah Kota Marudu, Alexander Yong; Pengurus Jabatan Pemasaran KTYS, Hillary Sibangun; Pengarah JPPM Yuniezah Marlya Yunos dan Ketua Polis Daerah Kota Marudu,Superitendan Zairolnizal Ishak. – SABAH MEDIA / FOTO ESSCOM

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular