Kota Kinabalu : Lapan barangan termasuk bawang merah besar import dan kacang dal Australia disenaraikan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali negeri Sabah pada tahun ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah Georgie Abas berkata, skim itu berkuat kuasa selama tujuh hari bermula hari ini hingga 15 November ini.
Katanya, barangan lain ialah bawang merah kecil (India) tidak termasuk ros, cili merah, daging kambing biri-biri bertulang import, kelapa biji (harga maksimum pada peringkat borong sahaja), kelapa parut (harga maksimum pada peringkat runcit sahaja) dan tomato.
“SHMMP ini akan berjalan selama tiga hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tiga hari selepas perayaan. Skim ini dikuatkuasakan sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan sepanjang musim perayaan Deepavali serta memastikan keberadaan bekalannya di pasaran.
“Pelaksanaan skim ini juga bertujuan untuk memaklumkan kepada rakyat tentang langkah Kerajaan yang prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup dan kenaikan harga barangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Georgie turut melancarkan SHMMP Deepavali 2023 bertempat di Pasaraya Emart Lintas Jaya, di sini pagi tadi.
Georgie berkata, sepanjang pelaksanaan SHMMP Deepavali 2023, peniaga adalah diwajibkan untuk untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuklah menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan.
“Selain itu meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakannya dengan barangan lain.
“Mempamerkan tanda harga ke atas semua barangan yang dijual; memastikan bekalan barangan mencukupi di pasaran; dan mengguna alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan,” katanya.
Sementara itu, Georgie berkata, sebanyak 3,521 premis telah diperiksa di seluruh Sabah menerusi pemeriksaan di bawah SHMMP bagi Tahun Baru Cina, Hari Raya Puasa, dan Pesta Kaamatan yang telah dilaksanakan sepanjang tahun ini.
Katanya, hasil pemeriksaan telah berjaya menghasilkan empat kes atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dengan nilai kompaun sebanyak RM700.00 dan nilai rampasan sebanyak RM684.60.
Dalam pada itu, Georgie berkata, anggota penguat kuasa KPDN Sabah akan sentiasa berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari.
Katanya, ini adalah sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan sepanjang musim perayaan Deepavali 2023 serta memastikan keberadaan bekalannya di pasaran mencukupi, mudah didapati dan dijual pada harga yang telah ditetapkan. – SABAH MEDIA / FOTO KPDN SABAH