TAWAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dilaporkan hilang dikhuatiri lemas selepas tergelincir dan terjatuh semasa bermain di muara sungai di Kampung Kurnia Jaya, Jalan Apas Batu 4 dekat sini petang tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.54 petang tadi mengenai kejadian seorang mangsa kanak-kanak dipercayai terjatuh ke dalam muara sungai di lokasi tersebut.
“Menurut saksi yang juga ibu mangsa, kanak-kanak tersebut telah tergelincir kemudian terjatuh dan dibawa arus sewaktu bermain di belakang rumah.
“Pasukan Bomba mendapatkan maklumat mangsa dan seterusnya operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilancarkan.
“Mangsa seorang kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Aduha Iman berusia dua tahun dilaporkan memakai baju berwarna putih semasa kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu lagi, sehingga kini mangsa belum ditemui dan operasi SAR ditangguhkan pada jam 7.30 petang tadi dan akan disambung pada esok hari. Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.