HomeIsu tempatanCubaan seludup masuk produk kosmetik tanpa permit gagal

Cubaan seludup masuk produk kosmetik tanpa permit gagal

Read Time:1 Minute, 30 Second

Tawau : Tindakan seorang individu warga Indonesia yang bertindak menyembunyikan pelbagai produk kosmetik tanpa permit di bawah muatan hasil pertanian membawa padah apabila berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, dalam operasi rondaan yang dijalankan pihaknya berjaya mengesan sebuah bot kargo dalam keadaan mencurigakan bergerak dari Pulau Sebatik menuju ke Perairan Tawau.

“Pemeriksaan awal ke atas bot yang ditahan di kedudukan 1.9 batu nautika utara Sungai Pukul itu mendapati seorang lelaki pemegang pasport warga Indonesia berusia 35 tahun bertindak selaku juragan membawa muatan hasil pertanian iaitu pisang.

“Pemeriksaan menyeluruh ke atas bot tersebut telah menemukan pelbagai barangan kosmetik yang disembunyikan di bawah timbunan pisang di dalam bot tersebut dipercayai produk dari negara jiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shahrizan berkata, pemeriksaan ke atas dokumentasi seterusnya mendapati juragan tersebut gagal mengemukakan permit serta lesen yang sah berkaitan barangan kosmetik yang dibawa.

“Antara produk yang ditemukan di dalam bot tersebut 423 set kosmetik, 264 botol minyak angin pelbagai jenama, 200 botol penyembur deodorant pelbagai jenama dan beberapa produk kesihatan yang didaftarkan di negara jiran.

“Bot, muatan serta juragan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM56,000,” katanya.

Dalam pada itu, Shahrizan berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon  Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).

“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular