Lahad Datu : Sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran yang disyaki cuba menyeludup barang kawalan berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kedudukan lebih kurang 0.3 batu nautika di kawasan Selatan rumah api Tanjung Labian, Lahad Datu semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, bot pam berwarna biru yang dikendalikan oleh seorang kru itu berada dalam keadaan mencurigakan dan ditahan kira-kita jam 4.27 petang.
“Berdasarkan maklumat awam dan hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan telah melakukan pelbagai kesalahan.
“Antaranya adalah di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (cubaan menyeludup beras), Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 bersama Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah semasa diperiksa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nik Mohd Rizam berkata, kru bot terbabit merupakan seorang lelaki warga Filipina berumur 44 tahun.
Katanya, individu turut dipercayai berada dibawah pengaruh dadah berdasarkan tingkah laku dan penemuan peralatan menghisap dadah.
“Turut dirampas 200 kilogram beras, 17 kilogram minyak masak, sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran dan dua buah enjin pam.
“Anggaran rampasan adalah berjumlah RM9,500. Beras dan minyak masak tersebut disyaki dibawa keluar untuk dijual di negara jiran,” katanya.
Nik Mohd Rizam berkata, Zon Maritim Lahad Datu memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di kawasan Lahad Datu agar terus memberi kerjasama dengan melaporkan jika terdapat sebarang maklumat berkaitan salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 089-885727 (Pusat Operasi Lahad Datu) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA