HomeUtamaProjek “Community Adoption Programme-Sabah” bawa perubahan positif di Kiulu

Projek “Community Adoption Programme-Sabah” bawa perubahan positif di Kiulu

Read Time:5 Minute, 37 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KIULU : Projek Community Adoption Programme-Sabah yang dilaksanakan selama hampir tiga tahun telah membawa impak positif ke atas tiga buah kampung di sini yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat luar bandar.

Diterajui oleh Yayasan RYTHM dengan kerjasama Good Shepherd Services (GSS), projek ini menekankan sokongan pendidikan dan pemerkasaan ekonomi yang mampan di Kampung Ratau, Kampung Lokub dan Kampung Talantang.

Joniston (kanan) bersama Vijay (dua kiri) dan Petrus (kiri) semasa majlis penutupan Projek Community Adoption Programme di Kg Lokub pada Sabtu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, menyatakan keyakinan beliau terhadap impak program itu semasa penutupan projek Projek Community Adoption Programme-Sabah di Kampung Lokub, pada Sabtu.

“Program ini menanamkan semangat kebanggaan serta daya tahan dalam komuniti kita, dan juga memperkasakan kampung kita untuk menjadi lebih berdikari. Ini merupakan peralihan ke arah masa depan yang lebih cerah untuk Kiulu.

“Sudah tentu kita mahu melihat peralihan ketara ini melalui dua elemen utama pendidikan dan pemerkasaan ekonomi yang mampan yang akhirnya membuka jalan kepada kemajuan dan kemakmuran jangka panjang untuk penduduk luar bandar,” katanya.

Dalam aspek sokongan pendidikan, projek ini telah memberi manfaat kepada 100 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lokub dan menekankan komitmen untuk memupuk individu dalam komuniti dengan melibatkan golongan belia-beliawanis dan ibu-ibu sebagai guru tuisyen.

Tambahan pula, Projek Community Adoption Programme-Sabah ini juga memacu inisiatif pemerkasaan ekonomi, khususnya dalam bidang ekopelancongan.

“Saya difahamkan program itu turut menyediakan bimbingan dan latihan kepada belia dari tiga buah kampung berkenaan untuk merancang dan melaksanakan pelan perniagaan untuk tempoh dua tahun bagi tujuan memajukan kegiatan ekopelancongan di kampung masing-masing.

“Saya berharap penduduk Kampung Ratau, Kampung Lokub, dan Kampung Talantang akan saling membantu dan melengkapi antara satu sama lain dari segi tenaga, idea dan sumber untuk bersama-sama mempromosikan produk ekopelancongan.

“Sebagai Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, saya akan sentiasa menyokong penuh inisiatif ekopelancongan di Kiulu kerana saya percaya kepentingan sektor pelancongan sebagai pemangkin ekonomi bagi negeri Sabah,” jelas Joniston.

Beliau turut memuji Yayasan RYTHM dan Good Shepherd Services kerana menekankan pembabitan wanita dalam bidang keusahawanan, di mana peserta telah mengusahakan kebun sayur di Kampung Ratau, kedai runcit di Kampung Talantang, dan perkhidmatan fotostat serta penjualan kuih-muih di Kampung Lokub.

Joniston juga menekankan usaha kerjasama kolektif ketiga-tiga kampung tersebut dalam membangunkan produk jenama ‘Kiulu Kio’ seperti sambal liposu dan kerepek batang pisang.

Beliau melahirkan harapan agar produk-produk ini mencapai pasaran tempatan dan dipromosikan secara global.

Yayasan RYTHM merupakan inisiatif impak sosial syarikat Qi Group sebuah konglomerat multinasional yang mempunyai kepentingan dalam pendidikan, pelancongan, perniagaan jualan langsung, pembangunan hartanah dan peruncitan.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan RYTHM Datin Seri Umayal Eswaran berkata, program tersebut berjaya dilaksanakan bagi menyahut seruan kerajaan memfokuskan pemerkasaan dalam pembangunan ekonomi masyarakat luar bandar khususnya membantu golongan wanita memulakan perniagaan kecil-kecilan dan dengan sokongan pendidikan menjadikan anak-anak muda berpendidikan lebih baik sekali gus sebagai duta di masa akan datang memimpin masyarakat setempat dalam memajukan kampung masing-masing.

Umayal

“Ini adalah program yang holistik tidak kira lelaki atau perempuan, tua, muda secara keseluruhannya mereka semua mendapat manfaat daripada program ini.

“Apa yang menarik di Kiulu ini, kita boleh memanfaatkan sepenuhnya menerusi keindahan alam semulajadinya, masyarakat di sini beruntung kerana mempunyai kampung yang cantik, bukit, hutan, sungai, pertanian dan budayanya yang unik, jadi semua itu berpotensi besar boleh menjana ekonomi sekiranya ia diurus dengan betul, itu sebabnya kami (Yayasan RYTHM) berada di sini bersama GSS untuk membantu berkongsi idea dan memberi pengetahuan serta bimbingan kepada penduduk di tiga kampung ini bagi tujuan mereka boleh mengurus, mengusaha dan meningkatkan produktiviti mereka.

“Manfaat daripada program ini bukan sahaja untuk penduduknya tetapi juga menarik pelancong luar dan dalam untuk datang ke Kiulu merasai sendiri pengalaman berada di Kiulu,” katanya.

Pengerusi Eksekutif Syarikat Qi Datuk Seri Vijay Eswaran, Ketua Yayasan RYTHM, Santhi Periasamy, Pengarah Ahli Lembaga Good Shepherd Services Datuk Petrus Gimbad, dan Pengarah Eksekutif Good Shepherd Services Dr Janie Liew turut hadir dalam majlis penutupan program tersebut.

PENDIDIKAN

Dalam pada itu, Ketua Kampung Lokub, Yunus Limun berkata, beliau mewakili penduduk kampung yang terlibat secara langsung dalam program itu berasa amat gembira dengan transformasi dari segi pendidikan anak-anak, pelancongan, pertanian serta produk kraf dihasilkan semakin berkembang sejak tiga tahun Yayasan RYTHM dan GSS memimpin mereka.

Yunus

“Kami amat gembira, yang paling ketara sejak kehadiran Yayasan RYTHM dan GSS, kehidupan kami berubah menjadi lebih baik, kami diajar dalam bidang kemahiran seperti memulakan perniagaan runcit, membuat produk kraf, makanan, pelancongan berasaskan komuniti dan pendidikan untuk anak-anak kami.

“Dalam pendidikan anak-anak kami diberikan khidmat tusyen secara percuma selain bersekolah biasa, saya melihat keyakinan diri anak-anak kami semakin meningkat dan sudah boleh menguasai bahasa Inggeris selain penggunaan bahasa Melayu dan bahasa ibunda Dusun,” katanya.

PRODUK MAKANAN DAN KRAF

Bagi ibu kepada lima anak, Jelina Lontuni, 38, dari Kg Ratau berkata, dia bersama ahli WISE telah mempelajari banyak ilmu pengetahuan dan bimbingan daripada pihak tenaga pengajar GSS seperti membuat kraf kalung manik, memasak Sambal Liposu, Kerepek Batang Pisang dan menanam sayuran.

Jelina menunjukkan Sambal Liposu (buah asam) salah satu produk makanan yang WISE hasilkan manfaat dari program tersebut.

“Selain kemahiran menjahit pakaian, saya juga mendapat kemahiran baru sejak mengikuti persatuan WISE yang diterajui Yayasan RYTHM melalui GSS.

Kedai runcit WISE di Kg Talatang.

“Kami para wanita Kg Lokub, Kg Ratau dan Kg Talatang kini mahir dalam pembuatan produk kraf dan makanan dan kami sudahpun memasarkan di pasaran tempatan seperti di tamu-tamu hujung minggu dan ada juga mengambil tempahan di luar,” katanya.

EKOPELANCONGAN

Bagi petani, Lacius Banin, dari Kg Talatang, beliau merupakan pengerusi ekopelancongan Watu Kokoluton Hill yang terletak di Kg Talatang meluahkan terima kasih kepada pihak peneraju program Yayasan RTYHM dan GSS kerana memilih kampung mereka sebagai tapak ekopelancongan.

Lacius

“Watu Kokoluton Hill adalah salah satu produk ekopelancongan komuniti Kg Talatang untuk para peminat sukan lasak menawarkan pakej aktiviti hiking (mendaki) dan “campingsite”.

“Sejak dibuka dua tahun lalu, lebih seratus pendaki datang ke sini untuk merasai sendiri pengalaman mendaki bukit Watu Kokoluton.

“Pendakian sejauh 8 kilometer, pendaki disajikan dengan keindahan alam semulajadi sambil menghirup udara segar dikelilingi hutan yang menghijau, fauna flora, mini air terjun dan air graviti yang bersih,” katanya sambil menambah para guide (pemandu arah) yang bertauliah hasil bimbingan penganjur program terdiri daripada penduduk kampung setempat.

Lacius berkata, Watu Kokoluton Hill kini menjadi salah satu tarikan pelancong untuk daerah Kiulu dan mengalu-alukan kehadiran pelancong luar dan dalam supaya datang berkunjung ke Kg Talatang merasai sendiri pengalaman mendaki Watu Kokoluton Hill.

Selain itu, orang ramai juga dialu-alu mengunjungi Ratau Campsite yang terletak di Kg Ratau, merasai pengalaman berjalan atas jambatan gantung, berkelah, mandi-manda dan berkemah.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular