HomeUtamaLima telaga tiub atasi masalah bekalan air di UMS telah siap digerudi

Lima telaga tiub atasi masalah bekalan air di UMS telah siap digerudi

Read Time:1 Minute, 52 Second

Kota Kinabalu : Proses penggerudian lima daripada enam telaga tiub yang dibina di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini sudah siap digerudi setakat semalam.

Projek itu adalah melibatkan dana RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lalu,

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata selain baki satu lagi telaga menggunakan dana itu yang sedang digerudi ketika ini, ada dua lagi telaga baharu turut dalam proses penggerudian, menjadikan tiga telaga lagi bakal disiapkan selewat-lewatnya penghujung bulan Mac depan.

Katanya, kampus UMS akan dilengkapi dengan sembilan kemudahan telaga tiub apabila proses pelaksanaan projek berkenaan siap masing-masing satu yang sudah beroperasi dan lapan telaga baharu yang sedang dalam proses penyiapan.

“Setakat ini kita sudah siap menggerudi sebanyak lima telaga tiub untuk mendapatkan air bawah tanah dan kita menggerudi tiga lagi ketika ini. Jadi sekarang ada lima (telaga tiub) dalam proses untuk kita sedut air bawah tanah dengan kedalaman antara  80 meter hingga 120 meter.

“Setiap telaga tiub itu boleh mengeluarkan antara 120,000 hingga 150,000 liter air sehari,” katanya ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, di sini, semalam.

Kunjungan itu bagi memaklumkan Tun Juhar yang juga Canselor UMS mengenai pelantikan semula Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Pro-Canselor UMS.

Hadir sama Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar dan Ketua Bahagian Pentadbiran dan Governan UMS, Azmi Jumat.

Difahamkan, selain dana RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri, pembinaan dua lagi telaga tiub baharu yang turut dilaksanakan ketika ini dibiayai Kementerian Pendidikan Tinggi.

Kasim berkata, pihaknya berharap dengan adanya sembilan telaga tiub beroperasi di kampus induk UMS itu nanti akan dapat menampung sekurang-kurangnya 1.2 juta liter air sehari (MLD) keperluan air warganya.

“Bagaimanapun, sumber air bawah tanah ini bukan untuk diminum, tapi digunakan untuk pembersihan dan keperluan di bilik air seperti mandi dan sebagainya,” katanya.

Justeru, beliau berkata, UMS masih memerlukan bekalan air bersih yang disalurkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bagi menampung keperluan kira-kira 20,000 pelajar dan kakitangannya.

Secara keseluruhan, katanya UMS memerlukan antara tiga hingga lima MLD air yang ketika ini tidak dapat dipenuhi pihak JANS menyebabkan UMS terpaksa mencari sumber air alternatif. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Pendedahan atau Gerakan Politik?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular