HomeUtamaPendaftaran PADU perlu dihentikan sementara, nilai semula keberkesanan program

Pendaftaran PADU perlu dihentikan sementara, nilai semula keberkesanan program

Read Time:1 Minute, 28 Second

Kota Kinabalu : Pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) perlu dihentikan sementara selain penilaian semula strategi terhadap program berkenaan perlu dilaksanakan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, beliau juga kurang selesa dengan kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berhubung isu pendaftaran PADU yang dilihat memaksa orang ramai.

“Sehubungan itu, saya menggesa agar beliau menghentikan sementara (pendaftaran PADU) dan buat penilaian semula strategi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan turut menyifatkan pendaftaran PADU selama empat bulan yang menyasarkan kira-kira 20 juta rakyat, bukan saja membimbangkan, malah membingungkan.

“Apa alasan di sebalik pendaftaran yang dibuat secara tergesa-gesa ini? Adakah ia tidak mendedahkan sistem ini kepada kesan terhadap keselamatan dan ketepatan data?.

“Bagaimana persiapan kerajaan untuk memastikan data akan diurus dan dilindungi dengan selamat dalam situasi terlalu banyak data peribadi dimasukkan dalam sistem dengan masa yang singkat?.

“Pastinya banyak kaedah dan pendekatan secara berfasa yang lebih berhemah. Lagipun, lebih 65 peratus rakyat Malaysia belum mendaftar, ia menunjukkan bahawa ada isu kepercayaan atau kelemahan,” katanya.

Berikutan itu, Jeffrey bersetuju dengan pandangan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yang mengatakan tiada beza di antara PADU dengan sistem sedia ada seperti e-Kasih atau Skim Tunai Rahmah.

Katanya, beliau tidak melihat keperluan untuk PADU atau bagaimana ia menentukan kutipan data peribadi secara meluas melangkaui kebiasaan yang diperlukan agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau sistem kebajikan.

“Tugas kerajaan ialah untuk melayan rakyatnya, bukan untuk mendalami perkara yang tidak perlu dalam kehidupan peribadi mereka. Perlindungan privasi individu mesti seimbang dengan manfaat kutipan data,” katanya.

“Secara peribadi saya mencadangkan PADU menggunakan pangkalan data yang mereka suda ada, bantu rakyat untuk mengurangkan kebimbangan privasi mereka dan lebih penting jangan bebankan rakyat,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Hujan lebat tahap waspada di 5 negeri hingga Jumaat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular