HomeEkonomiSYBIL bentang beberapa cadangan untuk majukan Sabah

SYBIL bentang beberapa cadangan untuk majukan Sabah

Read Time:4 Minute, 13 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Pemimpin Muda Perniagaan & Industri Sabah (SYBIL) akan membentangkan beberapa cadangan kepada kerajaan negeri khususnya mengenai meningkatkan ekonomi sekali gus memajukan pembangunan negeri itu.

Sehubungan dengan itu, satu program telah diadakan iaitu Sesi Bengkel Rangkaian dan Industri disertai 100 orang usahawan muda Sabah yang berkebolehan terdiri dari pemimpin dan profesional dari pelbagai industri di negeri ini.

Ar. Chan Lik San

Ar. Chan Lik San merupakan salah seorang penganjur program berkenaan berkata, bengkel yang dilaksanakan menghimpunkan 100 usahawan muda yang berkebolehan hadir untuk berkongsi idea dan cadangan dengan matlamat untuk memajukan negeri Sabah.

“Bengkel ini dilaksanakan agar kita berkongsi idea bagaimana kita dapat membantu meningkatkan ekonomi Sabah dari pelbagai sektor industri.

“Harapan kami pada program kali ini sebenarnya ingin melancarkan kolum mingguan jadi kita akan kenal pasti pemimpin dalam pelbagai industri untuk menulis artikel mengenai cadangan mereka bagaimana pembangunan Sabah boleh dipertingkatkan. Itulah harapan kami dalam mengadakan bengkel pada hari ini.

“Saya harap apa yang kami bincangkan di sini dimasukkan dalam cadangan dengan dasar yang berbeza seterusnya membentangkan beberapa cadangan tersebut kepada kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui Sabah Media semasa sesi bengkel tersebut yang berlangsung di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komunikasi Invest Sabah Berhad, Datin Nirvana Jalil Ghani berkata, bagi pihaknya selaku agensi promosi kerajaan negeri adalah untuk menarik pelabur masuk ke Sabah khususnya dari segi membantu memajukan infrastruktur Sabah.

Nirvana

Katanya, bukan sahaja infrastruktur tapi meningkatkan ekonomi dalam sektor pembangunan modal insan iaitu mencipta peluang pekerjaan menerusi industri pelancongan antaranya.

“Saya percaya Sabah sekarang lebih agresif sebelum ini. Kita sangat bertuah sekarang di bawah rancangan Sabah Maju Jaya (SMJ) sangat fokus dengan matlamat untuk memajukan negeri ini.

“Justeru, apa yang pihak kami boleh bantu kita akan berusaha memperomosikan pelabur asing dan domestik dari pelbagai sektor industri untuk masuk melabur ke negeri ini,” katanya.

Nirvana berkata, baru-baru ini Sabah telah memperolehi pelaburan yang besar dari syarikat SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd yang memerlukan lebih kurang 5,000 peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah.

“Selain itu, ada juga pekerja mereka dari kalangan orang Sabah berpeluang mendapat latihan di luar negara, jadi kita bekerjasama dengan mereka.

“Oleh yang demikian, kenapa kami hadir ke program SYBIL ini kerana kami percaya usahawan muda adalah sumber, jadi kami ingin bantu seberapa banyak yang mungkin usahawan muda di negeri ini.

“Kami mahu lihat lebih ramai usahawan muda yang berjaya dan menyumbang kepada Sabah juga bagaimana mempromosikan anak-anak Sabah ke luar negara mempelajari kemahiran dan kembali menjadi tenaga mahir di Sabah.

“Selain itu kita juga akan membantu mengembangkan perniagaan mereka hingga ke peringkat antarabangsa,” kata Nirvana.

Bagi Timbalan Presiden Sabah Oil & Gas Service Council (SOGSC), Jesselton Jason berkata, pihaknya menyasarkan untuk membangunkan lebih banyak industri minyak dan gas di Sabah.

Jesselton

“Pelbagai insiatif telah kami laksanakan untuk memajukan syarikat minyak dan gas di Sabah, apa yang saya lihat sebelum ini penyertaan dalam minyak dan gas di Sabah pada tahun lalu bila kami mula bekerjasama dengan kerajaan negeri sebenarnya penyertaan ahlinya sangat rendah kurang dari 10 peratus dan tahun ini kami melihat penyertaan kontrak lebih dari 18 peratus dan hampir mencapai 20 peratus sasaran sekarang.

“Kami berharap tahun ini jumlah itu akan meningkat sekali gus dapat membantu meningkatkan ekonomi Sabah,” katanya.

Melalui SYBIL, Jesselton berkata, mereka mahu memberikan lebih pendedahan kepada usahawan muda mengenai pasaran minyak dan gas sangat tinggi, jadi mereka perlu usaha lebih dari aspek pemasaran teknikal.

“Menerusi SYBIL saya harap perkara ini dapat ditonjolkan dari aspek pasaran teknikal dan memastikan ia dapat meningkatkan persaingan dari semua pasaran minyak dan gas di negeri ini,” tambahnya.

Manakala Penolong Pengarah (Perancangan Strategik Suruhanjaya Tenaga Sabah) Wilfred Linggu berkata, pihaknya mencadangkan dari aspek tenaga boleh diperbaharui adalah satu kaedah tenaga alternatif bagi janaan elektrik selain memberi manfaat kepada pengguna ia juga menjaga kelestarian alam sekitar.

Wilfred

“Tenaga boleh diperbaharui adalah satu pilihan untuk menjana tenaga rendah karbon yang juga dapat diterap dan dilaksanakan secara berkesan selaras dengan aspirasi negara kita.

“Situasi sekarang di Sabah lebih dari 80 peratus janaan elektrik kita menggunakan gas asli, jadi sudah tiba masanya untuk kita beralih ke tenaga yang boleh diperbaharui contohnya menggunakan solar, angin, hidro, biomass dan geoterma.

“Selaras dengan aspirasi negara, kita perlahan-lahan berubah dari minyak ke gas asli ke tenaga boleh diperbaharui.

“Potensi itu selari dengan Sabah Energy Roadmap and Masterplan 2040 (SE-RAMP 2040) yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Jadi sasaran menjelang 2030 sekurang-kurangnya 50 peratus tenaga campuran itu daripada tenaga boleh diperbaharui dan 2050 mencapai 80 peratus.

“Pada masa sama, ia juga boleh mencapai aspirasi negara Net Zero Carbon menjelang 2050,” jelasnya.

Menurut Wilfred lagi, SYBIL merupakan satu platform yang sangat bagus bagi membincangkan dan berkongsi idea untuk memajukan negeri Sabah.

“Kita boleh menghimpunkan semua usahawan berjaya yang mempunyai kepakaran masing-masing dari kalangan generasi muda masa ini bersama-sama mengeluarkan idea untuk memajukan negeri ini,” ujar beliau.

Turut hadir Presiden SYBIL, Ar. James Wong, dan timbalan presiden, Datuk Jade Koh. Ahli-ahli jawatankuasa penganjur selain Ar. Chan Lik San, Adam Wong, Gordon Pan dan Dr Jeremy Lee turut hadir dalam program itu.

RELATED ARTICLES
Utama

ADUN Kiulu wujud Tabung Keusahawanan & Kepimpinan Belia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular