Kota Kinabalu: Kumpulan Mutiara Dancer dari Sekolah Kebangsaan (SK) Mutiara Kota Kinabalu akan mewakili Malaysia ke Dance World Cup 2024.
Guru Besar SK Mutiara, Junaidah Yassin berkata, pertandingan tersebut akan berlangsung di Prague, Czeh Republic pada 27 Jun hingga 6 Julai 2024 dan kumpulan tersebut akan bertolak dari Sabah pada 23 Jun depan.
“Kumpulan Mutiara Dancer memperoleh tiket mewakili Malaysia selepas berjaya dalam pemilihan kelayakan pada Mac lalu dengan membawa konsep etnik.
“Kita memperkenalkan budaya etnik sabah ke mata antarabangsa sekurang-kurangnya pelajar SK Mutiara ini boleh menjadi duta-duta kecil yang membawa budaya sabah dan lebih dikenali di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas membuat kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, di sini semalam.
Junaidah berkata, empat kategori yang akan disertai dalam pertandingan tersebut iaitu solo lelaki membawa tarian murut, solo perempuan dari kaum Dusun Lotud (Giring-Giring), manakala kategori Trio dari kaum Bajau Samah (Anak Samah) serta berkumpulan juga dari Bajau Samah (Pesorong Kami) dan seramai lapan guru pengiring dan lapan murid akan ke pertandingan tersebut.
“Kita juga mengupah jurulatih khas untuk melatih kumpulan tersebut di mana mereka telah pun giat berlatih sejak tahun lalu lagi,” katanya.
Junaidah turut menyatakan tujuan kunjungan hormat untuk memaklumkan kejayaan Mutiara Dancer yang akan bertanding di peringkat antarabangsa sekaligus memohon sokongan serta nasihat daripada Tun Juhar.
Katanya, Tun Juhar menyokong penuh usaha pihak sekolah serta menyampaikan sedikit nasihat sebagai inspirasi kepada rombongan.
Turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Rejanah Bahanda dan Penolong Kanan Kokurikulum, Masdi Ahmad Mus.