Kota Kinabalu : Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Koridor Wilayah Sabah (SEDIA) muncul Johan Pertandingan Gerai Tercantik sempena Majlis Perjumpaan Penjawat Awam Persekutuan Bersama Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri.
SEDIA mengungguli pertandingan dan mengatasi 67 reruai agensi lain dengan mengumpul 284 mata disusuli Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) sebagai naib johan sementara Jabatan Penjara Malaysia di tempat ketiga dengan 278 markah.
Hadiah berupa hamper disampaikan oleh Setiausaha Persekutuan (SUP) Sabah, Datuk Makhzan Mahyuddin di Dewan Serbaguna Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini semalam.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.
Sementara itu, tujuh agensi menerima hadiah saguhati antaranya Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Majlis Keselamatan Negara.
Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kazim M. Yahya, Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong.