Kota Kinabalu : Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) akan berkolaborasi dengan Petronas menerusi Program ‘Talasemia We Care’ (TWEC) bagi menyediakan 250 buah ‘Desferal Infusion Pump’ untuk membantu pesakit talasemia di negeri ini.
Pengarahnya, Rugayah Ag. Besar berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk meletakkan mesin-mesin tersebut di fasiliti kesihatan setiap daerah memandangkan JKNS mempunyai senarai para pesakit talasemia.
“Pada tahun lalu, YKS juga telah melancarkan Program Oksigen Untuk Rakyat #SharingisCaring secara berkolaborasi dengan Sabah Energy Corporation dan JKNS untuk membantu para pesakit yang memerlukan yang mana setakat ini, lebih 100 orang pesakit telah mendapat manfaat.
“Selain itu, YKS dijangka akan melancarkan Teratak Prihatin YKS pada tahun ini bagi menyediakan tempat penginapan sementara kepada penjaga pesakit terutama dari kawasan pedalaman yang tidak berkemampuan semasa keluarga mereka menjalani rawatan di hospital sekitar Kota Kinabalu.
“Sejak penubuhan YKS yang diinspirasikan oleh Ketua Menteri Sabah dan dilancarkan pada 29 September 2021, YKS telah menyalurkan pelbagai jenis bantuan kepada lebih 28,000 rakyat Sabah yang memerlukan,” katanya ketika media semasa Majlis Aidilfitri Setulus Hati RTM Sabah Bersama Asnaf 1445H/2024M.
Pada majlis tersebut, Rugayah turut menyampaikan bantuan bakul makanan dan sumbangan duit raya kepada 50 orang asnaf.
Sementara itu, Pengarah Penyiaran Sabah Salmah Hashim menzahirkan ucapan terima kasih atas sokongan dan dokongan YKS menjayakan majlis jamuan hari raya tersebut serta berharap kerjasama strategik itu akan berterusan.
“Insya-Allah pada tahun hadapan kita akan berbincang lebih awal dan membantu lebih banyak golongan asnaf yang memerlukan,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor dan Timbalannya, Supian Musa serta Ketua Biro Bernama Sabah, Fazli Ramli.