KOTA KINABALU: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sentiasa komited untuk meneruskan kerjasama strategik bersama pengurusan tertinggi kerajaan negeri dan jabatan serta agensi di Sabah.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama ini melalui beberapa sesi engagement terutamanya mesyuarat utama, mesyuarat tapak serta lawatan-lawatan ke tapak projek bagi memastikan semua perancangan dan pelaksanaan program atau projek dipantau dengan lebih rapi dan berjalan lancar.
Katanya, pada tahun 2024, KKDW telah menerima peruntukan berjumlah RM1.41 bilion bagi negeri Sabah iaitu peningkatan sebanyak RM290.1 juta (20.5%) berbanding tahun 2023 dan merupakan peruntukan yang tertinggi berbanding negeri lain.
“Peruntukan ini melibatkan 295 program atau projek yang terdiri daripada 70 program/projek baru dan 225 program/projek sambungan dengan kos keseluruhan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) berjumlah RM17.8 bilion.
“Daripada jumlah RM1.41 bilion yang diperuntukkan pada tahun 2024 ini, RM1.06 bilion telah diperuntukkan untuk pelaksanaan 224 projek infrastruktur seperti Jalan Luar Bandar (JALB), Jambatan Luar Bandar (JMLB), Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan Projek Pemajuan Kawasan (PPK) bagi menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk pembangunan negeri Sabah,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara YAB Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco-Exco Luar Bandar (Mexclub) Bilangan 1 Tahun 2024 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai mesyuarat itu, Zahid berkata, mesyuarat yang diadakan kali ini adalah untuk Exco-Exco Luar Bandar seluruh negeri melakukan penyelarasan program-program yang telah persetujukan bersama sebelum ini dan laksanakan tahun ini.
“Perkara pertama adalah untuk memperseimbangkan antara projek-projek fizikal yang ada yang telah kita kemukakan kepada kerajaan negeri.
“Manakala pelaksanaannya mesti dipantau untuk disegerakan dengan tidak mengetepikan tatakelola yang telah ditentukan oleh pihak kerajaan, contohnya sesuatu projek yang telah diluluskan hanya dapat dilaksanakan selepas 2 atau 3 tahun kerana ianya bergantung kepada konsultan, Penyediaan Senarai Kuantiti (BQ) dan tender terbuka yang mengambil masa yang lama.
“Justeru, apa yang harus dilakukan adalah dengan mengikuti tatakelola oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi maka pelaksanaannya dapat disegerakan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Zahid turut memberitahu agensi kerajaan Felda turut dijemput dalam mesyuarat tersebut.
“Buat pertama kalinya mesyuarat kali ini melibatkan Felda, Felda walaupun bukan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah tetapi Felda dijaga oleh saya di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Felda diwakili oleh pengerusinya sendiri untuk mendengar sekurang-kurangnya tentang apakah sebenarnya program-program luar bandar bukan hanya sekadar projek tetapi bagaimana pengisian minda dan perubahan sikap harus dilakukan dengan tidak hanya menumpukan kepada projek,” katanya.
Turut hadir wakil-wakil dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara.
Sementara itu pada sidang media sama, beliau turut mengumumkan setiap exco luar bandar yang hadir ke mesyuarat tersebut akan menerima peruntukan tambahan RM750,000 untuk melaksanakan projek mengikut kumpulan sasaran negeri masing-masing.
“Setiap exco yang datang mesyuarat kita berikan
peruntukan tambahan untuk mereka laksanakan projek-projek mengikut kumpulan sasaran di negeri masing-masing khususnya projek-projek infrastruktur dan projek eminiti iaitu peruntukan sebanyak RM750,000 setiap seorang exco.
“Saya harap mereka tidak akan menghantar wakil lagi di mesyuarat-mesyuarat akan datang. Keseriusan itu mesti ada,” tegasnya.