TAWAU: Kerajaan Sabah akan terus memastikan kekayaan budaya yang dimiliki rakyat berbilang kaum di negeri ini terus dikekalkan sekali gus menjadi daya tarikan pelancong datang ke negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Justeru, beliau berkata Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) adalah antara medan untuk mempromosikan khazanah budaya dan tradisi suku kaum yang diwarisi di negeri ini.
“Sabah terkenal sebagai negeri yang kaya dengan budaya etnik yang pelbagai serta keindahan alam semula jadi yang unik dan menarik. Kepelbagaian budaya dan keindahan alam flora dan fauna itu adalah antara aset dan khazanah negeri yang amat bernilai.
“Oleh hal yang demikian, aspek budaya dan adat tradisi suku kaum, serta keindahan alam semula jadi yang menjadi khazanah kita ini, wajar terus diketengahkan menerusi festival ini.Usaha seperti ini sudah pasti merancakkan lagi pertumbuhan industri pelancongan di negeri ini, termasuk di Tawau.
“Dalam masa sama, penganjuran program sebegini, ia turut memberikan ruang dan peluang kepada masyarakat setempat, khususnya usahawan, untuk menjana pendapatan melalui penjualan produk-produk berunsur tradisi, seperti kraftangan dan makanan etnik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) Siri Ke-9 Tahun 2024 di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau berkata dengan siapnya Pusat Kebudayaan Antarabangsa Tawau (TICC) nanti, FKAT yang diadakan secara tahunan ini akan mempunyai bangunan kekal selain menjadi tempat penganjuran pelbagai program bertaraf dunia lain.
“TICC ini juga akan menjadi pusat pengembangan budaya yang utama di luar ibu negeri Kota Kinabalu.
“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha murni seperti ini, iaitu, pertama; ke arah melestarikan khazanah budaya turun temurun, kedua; mempromosikan sektor pelancongan, ketiga; membangunkan ekonomi rakyat dan negeri, dan keempat, memupuk perpaduan dan keharmonian di kalangan rakyat.
“Sempena festival ini, peserta dari negara luar turut dijemput iaitu dari Indonesia, Thailand dan India. Ini sudah pasti secara tidak langsung, ia turut mengeratkan lagi hubungan dua hala antara negara kita Malaysia dengan negara-negara berkenaan.
“Saya berharap festival ini dapat dikekalkan menjadi acara tahunan yang bukan sahaja mampu menyatu-padukan rakyat melalui persembahan kebudayaan, malah sebagai wadah untuk melihat sendiri budaya dari negara luar,” katanya.