Kota Kinabalu: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan satu Rang Undang-Undang (RUU) baharu serta tiga pindaan RUU.
RUU yang diluluskan itu ialah RUU Mahkamah Syariah 2024 manakala, tiga RUU yang dipinda ialah RUU Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (Pindaan) 2024, RUU Keterangan Mahkamah Syariah (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pindaan) 2024.
Kesemua RUU tersebut dibentangkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Exco Agama dan Exco Pendidikan Negeri Sabah.
RUU berkenaan diluluskan selepas bacaan pertama, kedua dan ketiga melibatkan lapan pembahas ketika sidang dikendalikan oleh Timbalan-timbalan Speaker, Datuk Richard Yong Ke Wong dan Datuk Al Hambra Juhar.
Terdahulu, sesi pagi bermula pada jam 10 pagi menyaksikan lapan soalan sempat dijawab oleh kementerian-kementerian yang berkaitan dalam aturan pertanyaan-pertanyaan untuk jawapan lisan.
Mesyuarat turut dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan persidangan ditangguhkan pada jam 1.50 petang.