Kota Kinabalu : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan berjaya menahan dua kapal kargo yang melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran kelmarin.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, rondaan dan operasi yang dilaksanakan Kapal Maritim(KM) Arau telah mengesan dua kapal itu dalam keadaan mencurigakan sedang merapat di antara satu sama lain.
Katanya, melihat keadaan tersebut KM Arau bertindak menuju ke lokasi bagi memeriksa kedua-dua kapal berkenaan yang disyaki melakukan aktiviti Ship To Ship (STS) berhampiran Pulau Mantanani.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal yang berdaftar di Malaysia itu masing- masing dikendalikan oleh lapan kru warganegara Malaysia termasuk nakhoda.
“Pemeriksaan seterusnya mendapati kedua-dua kapal berkenaan gagal mengemukakan dokumen lesen (Akta Kawalan Bekalan 1961) CSA dan lesen (Akta Kemajuan Petroleum 1974) PDA bagi tujuan memindahkan minyak diesel.
“Kedua-dua kapal seterusnya ditahan untuk disiasat di bawah Akta Bekalan 1961, Akta Kastam 1987 dan Akta Kemajuan Petroleum 1974,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Suhaimi berkata, keseluruhan hasil rampasan dua buah kapal dan minyak diesel dianggarkan berjumlah hampir RM80,000.
Katanya, Maritim Malaysia serius melaksanakan pemantauan operasi dan penguatkuasaan agar komuniti di laut sentiasa patuh kepada undang-undang yang digariskan oleh pihak berwajib.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau maklumat berkenaan salah laku atau aktiviti jenayah di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088- 387774 atau talian kecemasan NG999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA