KOTA KINABALU: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah bersama orang awam berjaya menemukan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dihanyutkan arus deras pada 7.20 pagi tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan pada jam 6.45 petang kelmarin (03 September 2021) menyatakan sebuah kereta Perodua Myvi berwarna putih telah dihanyutkan banjir di Jalan Kionsom Lama, Inanam di sini dan terdapat dua orang mangsa terlibat.
“Ketua Operasi melaporkan kenderaan mangsa ditemui oleh orang awam pada jam 7:20 pagi tadi, 200 meter dari lokasi asal dilaporkan hanyut.
“Kenderaan berjaya dikeluarkan dari dalam air pada jam 11:28 pagi dan terdapat seorang mangsa bahagian penumpang ditemui dilokasi tidak sedarkan diri diserahkan kepada pihak polis,” menurut kenyataan itu.
Manakala seorang lagi mangsa iaitu pemandu kereta tersebut masih belum ditemui. Operasi pencarian bagi mangsa kedua masih dijalankan bersama Unit K9, PPDA, Polis dan Penduduk kampung.
Semalam tular video kejadian kereta berkenaan cuba menyeberangi sebuah jambatan yang dilimpahi air banjir sebelum dihanyutkan arus deras ke dalam sungai berhampiran dalam kejadian kira-kira 6 petang.
Dalam kejadian itu dua mangsa lelaki iaitu pemandu kereta bernama Simon Sanga Tupe, berusia 68 tahun dan seorang penumpang dikenali sebagai Juning, 30.