HomeIsu tempatanMaritim Malaysia tahan bot lakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran

Maritim Malaysia tahan bot lakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran

Read Time:2 Minute, 9 Second

Tawau : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan dua buah bot tempatan kerana melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran dan membawa muatan barang kawalan tanpa permit dalam dua tangkapan berasingan kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, dalam operasi yang dijalankan pihaknya telah menerima maklumat dari unit risikan mengenai sebuah bot kargo yang membawa muatan barang kawalan keluar dari Jeti CIQ Tawau menuju ke Pulau Sebatik kira-kira jam 2.30 petang.

Katanya, pemeriksaan ke atas bot yang ditahan di kedudukan 0.35 batu nautika barat daya Jeti CIQ Tawau itu mendapati dua lelaki warga tempatan berumur 26 dan 30 tahun mengendalikan bot tersebut.

“Pemeriksaan dokumentasi selanjutnya mendapati bot terbabit telah melakukan kesalahan kerana gagal mempamerkan sebarang permit berkaitan muatan yang dibawa.

“Pada jam 5.40 petang hari yang sama, maklumat unit risikan mendapati sebuah lagi bot tunda bersama sebuah bot kargo tempatan turut ditahan dan diperiksa oleh bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan operasi yang sama di lokasi 0.25 batu nautika selatan Muara Sungai Bombalai.

“Pemeriksaan ke atas kedua-dua bot tersebut mendapati kedua-dua kapal sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak diesel ‘ship to ship transfer’,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Shahrizan berkata, pemeriksaan dokumentasi ke atas kru kedua-dua kapal yang terdiri dari seorang warga tempatan dan lima pemegang pasport warga Indonesia kesemuanya lelaki berumur di antara 34 hingga 44 mendapati kedua-dua kapal tersebut telah menjalankan aktiviti pemindahan minyak diesel tanpa sebarang permit kebenaran.

Katanya, selain itu juga seorang kru bot terbabit juga didapati tidak memiliki permit kerja yang sah semasa berada di bot tersebut.

“Ketiga-tiga bot bersama muatan serta kesemua kru bot telah ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kemajuan Petroleum 1974, Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.

“Kesemua barangan termasuk ketiga-tiga bot dan muatan disita sehingga proses siasatan selesai membabitkan nilai rampasan keseluruhan lebih RM3.16 juta,” katanya.

Shahrizan turut menegaskan kepada komuniti maritim setempat untuk sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi jika didapati gagal mematuhi syarat sah lesen yang dikeluarkan.

“Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).

“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 dan talian kecemasan MERS 999,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Orang ramai dijemput hadir ke pameran khas karya seni Tuan Yang...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular