HomeIsu tempatan50 usahawan Sabah sertai program 'Bisnes Orang Muda'

50 usahawan Sabah sertai program ‘Bisnes Orang Muda’

Read Time:1 Minute, 45 Second

Kota Kinabalu : Seramai 50 usahawan di negeri ini terpilih menjalani latihan dan bengkel lanjutan mengenai pembangunan, model perniagaan dan keusahawanan.

Program yang dilaksanakan menerusi ‘Bisnes Orang Muda’ (BOM) itu merupakan sebuah program pembangunan bersepadu untuk usahawan muda.

Selain itu, program itu juga telah memberi peluang kepada sekumpulan pengusaha niaga Sabah untuk mengembangkan potensi mereka.

Inisiatif itu dilaksanakan di seluruh negeri dengan kerjasama antara Yayasan PETRONAS dan Impact Malaysia, sebuah agensi penggalak strategik di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

PETRONAS dalam satu kenyataan berkata, menerusi kemahiran baharu yang diperolehi, usahawan terlibat telah menyertai bazar Urban Tamu yang diadakan di Riverson, di sini, baru-baru ini.

Salah seorang usahawan, Kelvin Dale berkata,  program itu memberinya satu pengalaman baharu. 

Katanya yang berasal dari Ranau dan menjalankan perniagaan dobi telah menggunakan pewangi fabrik buatan sendiri, dan berjaya menarik perhatian pelanggannya.

“Sebelum ini, saya hanya menjual produk ini kepada pelanggan sedia ada. Program BOM mendorong saya untuk memasarkannya di luar Ranau. 

“Melalui program ini, saya dapat membawa produk saya ke Kota Kinabalu buat pertama kalinya,” katanya.

Tambahnya, BOM mampu memupuk kemahiran perniagaan di kalangan usahawan muda.

Bagi Stella Jones turut mengakui program itu amat berharga khususnya bagi mempelajari pengurusan kewangan dan pemasaran.

Katanya yang menjual bosou, hidangan tradisional Kadazandusun yang diperbuat daripada jeruk ikan itu turut meningkatkan kemahiran pemasaran digital yang dibuktikan dengan peningkatan jualannya melalui Facebook dan TikTok.

Beliau turut menggalakkan golongan belia yang mengalami kesukaran dalam mencari pekerjaan, untuk menceburkan diri dalam perniagaan kerana terdapat program yang boleh membantu mereka seperti Bisnes Orang Muda.

Stella telah memulakan perniagaannya sejak tahun 2015. Dengan resipi yang diwarisi daripada keluarganya, beliau bertekad untuk memelihara dan mempopularkan hidangan bosou di kalangan generasi muda.

Sementara itu, Felizia Dourus, seorang usahawan yang menjual sinulamba, pakaian tradisional dari komuniti Kadazandusun dari Kiulu, turut mengalami peningkatan dalam perniagaannya selepas menyertai program Bisnes Orang Muda.

“Program ini telah meluaskan pengetahuan saya, terutamanya dalam perancangan kewangan dan pemasaran. Melalui program ini juga saya belajar bagaimana untuk memasarkan produk dan mengembangkan perniagaan saya,” katanya, 

Yayasan PETRONAS telah menyokong program BOM di Sabah sejak tahun 2023. – SABAH MEDIA / FOTO PETRONAS

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Teknologi membran selesai masalah pelbagai sektor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular