HomeSukanWalter, Daved berjaya 'takluk' Gunung Kinabalu

Walter, Daved berjaya ‘takluk’ Gunung Kinabalu

Read Time:1 Minute, 55 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kundasang : Pelari Sabah Walter Herman dan Daved Simpat berjaya mengungguli kategori Lelaki Elit dan Lelaki Veteran pada Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu ke-31 yang berlangsung di Taman Kinabalu di sini hari ini.

Pelari Filipina, Sandi Menchi Abahan yang sebelum ini berjaya menjuarai kategori Wanita Elit pada 2016 dan 2017 sekali lagi mempertahankan kejuaraannya pada edisi kali ini.

Walter (tengah) bersama pemenang bagi kategori Lelaki Elite – Foto JAPEN SABAH

Walter yang juga seorang porter berjaya menamatkan larian dilaluan sejauh 26 kilometer dalam masa tiga jam, 36 minit dan 42 saat (3:36:42s) untuk merangkul gelaran juara bagi kategori Lelaki Elit.

Anak tempatan berusia 35 tahun dari Kiulu itu terpaksa berusaha keras untuk meninggalkan pesaing dari Indonesia, Yusri Nanda yang menduduki tempat kedua dengan catatan masa tiga jam,39 minit dan 51 saat.

Daved Simpat (tengah) bersama pemenang bagi kategori Lelaki Veteran – Foto JAPEN SABAH

Manakala seorang lagi pelari tempatan, Jude Maikol, menduduki tempat ketiga dengan masa 3:44:11s.

Dalam acara Veteran Lelaki, persaingan bagi merebut kejuaraan kategori itu menjadi tumpuan apabila Daved berjaya menewaskan Safrey Sumping yang sebelum ini menjuarai Lelaki Elit pada 2016 dan 2017.

Daved berjaya dinobatkan juara bagi kategori itu dengan catatan masa 3:36:13s berbanding masa Safrey 3:52:49s dan Milton Amat, menduduki tempat ketiga dengan masa 4:01:13s.

Sandi Menchi Abahan menerima bagi selepas menjuarai kategori Wanita Elit

Dalam perlumbaan Wanita Elit, Sandi menunjukkan keunggulannya apabila kembali menjuarai kategori itu dengan catatan masa 4:50:35s untuk merangkul gelaran ketiga berturut-turut.

Sandi sebelum ini pernah memenangi Climbathon pada 2016 dan 2017 sebelum acara tersebut dihentikan pada tahun berikutnya.

Pelari Malaysia, Tahira Najmunisaa Muhammad Zain, berada di tempat kedua dengan masa 5:18:11s manakala pelari tempatan, Danny @ Kuilin Gongot, menduduki tempat ketiga dengan masa 5:59:35s.

Climbathon kali ini kembali diadakan selepas tujuh tahun dengan penyertaan 206 atlet dari dalam dan luar negara.

Tiga pemenang teratas dalam setiap kategori perlumbaan menerima masing-masing menerima RM8,000, RM6,000 dan RM4,000.

Manakala hadiah wang tunai turut diberikan kepada pemenang tempat keempat hingga ke-10.

Pelepasan peserta dan penyampaikan hadiah disempurnakan Timbalan Setiausaha Tetap I Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Mary Malangking dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Julinus Jeffery Jimit. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH

RELATED ARTICLES
Sukan

280 peserta sertai ‘Tropical Rainforest Run 2024’ Ahad ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular