LAHAD DATU: Sabah Electricity tidak akan bertolak ansur terhadap apa jua ancaman yang membabitkan keselamatan anggota kerja syarikat itu ketika menjalankan tugas mereka.
Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang secara sengaja mengganggu dan menghalang anggota kerja Sabah Electricity yang sedang menjalankan tugas.
Ini berikutan peristiwa dua orang anggota kerja Sabah Electricity cedera ketika menjalankan tugas operasi pemotongan bekalan elektrik ke atas rumah kediaman yang mempunyai tunggakan bil elektrik pada Isnin, 18 November 2024 di Kampung Sepagaya.
Menurut satu kenyataan media Sabah Electricity semalam, dalam kejadian pada 11:30 pagi tersebut, seorang anggota kerja Sabah Electricity telah mengalami kecederaan ringan pada tangan kiri manakala seorang lagi terseliuh kaki kiri apabila kenderaan yang mereka naiki terbabas dan terjunam ke kebun kelapa sawit.
“Ketika kejadian, anggota kerja Sabah Electricity sedang memberhentikan kenderaan dibahu jalan untuk memeriksa senarai arahan pemotongan seterusnya dan mereka telah dihalang oleh sebuah kenderaan Toyota Vigo berwarna hitam di mana seorang lelaki dalam keadaan marah cuba untuk membuka pintu kenderaan milik Sabah Electricity secara paksa.
“Dalam keadaan yang panik, anggota kerja Sabah Electricity yang menaiki kenderaan Mitsubishi Triton beredar dari kawasan tersebut tetapi dikejar oleh lelaki itu menggunakan kenderaan miliknya menyebabkan situasi menjadi tidak terkawal.
“Kenderaan yang dipandu anggota kerja Sabah Electricity hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan sebelum terjunam jatuh ke kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Silam.
.”Laporan polis seterusnya dibuat oleh Sabah Electricity kerana berlaku provokasi dan gangguan ke atas anggota kerja Sabah Electricity yang menjalankan tugas,” kata kenyataan itu.