Kota Kinabalu : Seramai lebih 700 peserta terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat dari beberapa buah daerah di Sabah telah menyertai Larian Konvokesyen ke-26 Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini pagi tadi.
Larian sejauh tujuh kilometer itu adalah bersempena dengan Majlis Konvokesyen UMS ke-26 dan dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud diperkarangan Dewan Canselor UMS.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Prof. Dr. Shahril Yusof.
Sebanyak dua kategori dipertandingkan melibatkan kategori terbuka dan pelajar universiti serta menengah.
Mustapha ketika berucap berkata, larian itu bukan sekadar acara sukan, tetapi ia membawa misi yang jauh lebih besar iaitu mempromosikan nilai-nilai kecemerlangan, kesukanan, dan integriti dalam kalangan peserta.
Selain itu katanya, larian itu juga berupaya meningkatkan reputasi UMS di mata masyarakat umum, sektor swasta, NGO, dan badan korporat serta memperkukuhkan peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pemangkin perpaduan dan pembangunan negara.
“Larian ini juga memperlihatkan bagaimana sukan boleh menjadi alat perpaduan yang menghubungkan pelbagai lapisan masyarakat, tidak kira latar belakang budaya, etnik, atau status sosial.
“Dengan misi yang besar ini, acara ini membuktikan bahawa ia bukan sekadar aktiviti rekreasi tetapi platform berimpak tinggi untuk menyemai nilai murni, memperkukuhkan hubungan institusi dengan masyarakat, dan menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya.
Sementara itu, Mustapha berkata, program seumpama itu juga turut mengukuhkan komitmen universiti untuk terus relevan dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat, ekonomi, dan negara.
Katanya, sukan bukan sahaja membentuk tubuh badan yang sihat, tetapi juga memupuk semangat kerjasama, disiplin, dan daya tahan yang tinggi, iaitu nilai-nilai yang penting dalam membina sebuah masyarakat yang progresif.
Pada majlis itu juga, Mustapha sama turut meraikan ulangtahun ke-30 penubuhan UMS. – SABAH MEDIA