HomeIsu tempatanUpayaKPT@Sepanggar Kg. Kobuni, Inanam capai matlamat

UpayaKPT@Sepanggar Kg. Kobuni, Inanam capai matlamat

Read Time:2 Minute, 3 Second

Kota Kinabalu : Program UpayaKPT@Sepanggar yang berlangsung di Kg. Kobuni, Inanam berjaya mencapai matlamat menerusi penglibatan komuniti kampung yang menyertai kursus yang dianjurkan baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, program UpayaKPT adalah satu usaha dan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertujuan untuk merakyatkan hasil penyelidikan institusi pengajian tinggi (IPT) agar ia dapat dimanfaatkan oleh komuniti bagi pembangunan komuniti.

“Menerusi program UpayaKPT, pelbagai aktiviti seperti kursus pendek komuniti dilaksanakan bagi meningkatkan kemahiran dan pembangunan kapasiti dalam masyarakat.

“KPT khususnya Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan melaksanakan beberapa projek komuniti berasaskan pendekatan pemindahan ilmu dan teknologi kepada masyarakat,” katanya.

Katanya, projek komuniti berasaskan pendekatan ‘knowledge transfer programme’ (KTP) seperti penanaman sayuran secara akuaponik, penghasilan baja kompos, penghasilan bongkah cendawan dan batik tanah liat yang dilaksanakan pihak UMS bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran komuniti di Kg. Kobuni tetapi juga dilihat berupaya membantu untuk menjana dan meningkatkan pendapatan komuniti.

“Pelaksanaan projek-projek sebegini adalah selaras dengan aspirasi KPT untuk memperkasa komuniti melalui program pemindahan dan perkongsian ilmu kerana hasil penyelidikan dan keilmuan yang dijana di IPT perlu dipulangkan semula kepada masyarakat supaya limpahan kejayaan dan manfaat IPT turut dinikmati oleh komuniti selaras dengan konsep Malaysia MADANI,” katanya.

Beliau turut berkesempatan melawat kursus yang sedang dikendalikan oleh penyelidik UMS dan menyantuni peserta kursus.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata program ini adalah kesinambungan daripada program yang berjaya dilaksanakan sebelum ini di Kg. Darau, yang mana pelbagai kursus kemahiran telah ditawarkan kepada masyarakat setempat dengan impak yang amat positif.

“Pada program di Kg. Kobuni ini, kita sekali lagi membawa pengisian yang relevan dan praktikal untuk keperluan masyarakat.

“Saya amat berbangga melihat warga UMS menggunakan ilmu mereka untuk mencipta impak positif dalam kehidupan komuniti,” ujarnya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly.

Tambahnya, kursus-kursus ini tidak sekadar bertujuan memberikan ilmu, tetapi juga berhasrat membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.

Beliau juga percaya, dengan bimbingan daripada tenaga pakar UMS, peserta kursus ini dapat menjadikan kemahiran ini sebagai sumber pendapatan tambahan

“Program seperti ini menjadi bukti bahawa kolaborasi antara universiti, kementerian, dan komuniti mampu menghasilkan impak yang besar.

“Dalam usaha kita mencapai matlamat Pembangunan Lestari (SDG), program seperti UpayaKPT@Sepanggar memainkan peranan penting dalam melahirkan komuniti yang berdikari, celik ilmu, dan berdaya saing.

“Saya yakin, penglibatan ini akan memperkukuh kepercayaan masyarakat kepada universiti sebagai institusi yang bukan sahaja mencipta ilmu tetapi juga berkongsi manfaatnya dengan komuniti,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Program pertandingan inisiatif terbaik erat hubungan silaturrahim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular