Kota Kinabalu : Lebih 800 atlet muda dari 11 buah negara Asia Tenggara akan bersaing pada Kejohanan Olahraga Remaja SEA Bawah 18 tahun Kota Kinabalu Sabah 2024 kali Ke-16 di Stadium Likas esok.
Kejohanan yang berlangsung selama tiga itu akan menjadi platform penting untuk mencungkil bakat-bakat muda yang berpotensi menjadi bintang sukan di peringkat antarabangsa.
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dalam satu kenyataan memaklumkan, sebagai acara utama dalam kalender atletics rantau ini, ia juga bertujuan untuk memperkukuh hubungan persahabatan dan persefahaman antara negara-negara ASEAN melalui sukan.
“Kejohanan ini akan berlangsung selama tiga hari bermula esok bertempat di Stadium Likas dimana peserta terlibat adalah terdiri dari atlet bawah 18 tahun dari 11 negara Asia Tenggara.
“Antara acara utama yang dipertandingkan adalah lari pecut, lari jarak jauh, lompat jauh, lompat tinggi, lempar cakera, lontar peluru, dan acara berganti-ganti,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama pemimpin sukan serantau.
Tambah KOM, Stadium Likas, yang baru selesai menjalani penambahbaikan besar-besaran, kini bersedia untuk memberikan pengalaman terbaik kepada atlet, pegawai, dan penonton.
Dalam pada itu, Presiden KOM , Dato Seri Dr Shahidan Kassim berkata, kejohanan itu bukan sahaja peluang untuk menunjukkan kemampuan atlet muda tetapi juga membuktikan Malaysia mampu menganjurkan acara sukan bertaraf antarabangsa dengan jayanya.
“Sorakan ‘Malaysia Boleh’ akan terus menjadi semangat yang menyokong perjuangan mereka.
“Semua rakyat Malaysia dijemput untuk hadir ke Stadium Likas bagi memberikan sokongan moral kepada atlet muda kita,” katanya.
Tiket masuk adalah percuma untuk semua. – SABAH MEDIA