Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyokong aspirasi Pelan Tindakan Keusahawanan Institut Pendidikan Tinggi (IPT) 2021-2025 menerusi penganjuran Bulan Keusahawanan dan Kerjaya UMS 2024 (BKKUMS 2024), baru-baru ini.
Penganjuran BKKUMS 2024 membuktikan komitmen UMS dalam memperkukuhkan ekosistem keusahawanan di Sabah, di samping melahirkan graduan yang tidak hanya menjadi pencari kerja tetapi juga pencipta peluang pekerjaan.
Majlis penutupan yang berlangsung di Pusat Islam UMS telah disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Fazidah Mustafa.
Fazidah berkata keusahawanan bukan sekadar soal keuntungan tetapi adalah seni mencipta nilai diri dan pemangkin perubahan masyarakat, khususnya komuniti setempat.
“Penglibatan IPT dalam memperkasa agenda keusahawanan sosial sangat penting bagi melahirkan generasi muda yang inovatif, berdikari, dan prihatin terhadap komuniti,” katanya.
Fazidah turut menyeru pelajar untuk memanfaatkan teknologi terkini seperti Artificial Intelligence (AI), FinTech, dan Internet of Things (IoT) dalam mencetus idea perniagaan baharu.
“Penguasaan teknologi disruptif ini memberikan nilai tambah kepada pelajar, menjadikan mereka bukan hanya pencari pekerjaan, tetapi pencipta peluang pekerjaan.
“Harapan saya agar semua pihak, termasuk institusi pengajian tinggi, industri, dan agensi kerajaan, terus memperkukuhkan kerjasama bagi memastikan usaha melahirkan lebih ramai usahawan muda yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa dapat direalisasikan,” katanya.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian Anugerah Ikon Keusahawanan UMS 2024 (AIKUMS 24), yang memberi pengiktirafan kepada usahawan pelajar, tenaga pengajar, dan institusi yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang keusahawanan.
Penganugerahan tersebut diharap dapat menjadi sumber inspirasi kepada semua pihak untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang keusahawanan.
Statistik kebolehpasaran graduan di seluruh IPT bagi tahun 2023 yang mencapai 89.8 peratus jelas menunjukkan keberkesanan program seumpama ini dalam membina bakat muda yang bersedia menghadapi cabaran global.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang penganjuran BKKUMS 2024 termasuk ‘Social Enterprise Day 2024: Zon Borneo’ yang disambut bersempena Hari Keusahawanan Sosial Sedunia (SE World Day).
Acara lain yang mendapat perhatian adalah Entrepreneurship Innovation Showcase 2024 (EIS’24), yang menghimpunkan 42 penyertaan dari pelbagai institusi pengajian tinggi di Sabah. Pertandingan ini menjadi platform bagi mahasiswa mempamerkan inovasi mereka dalam bidang keusahawanan.