HomeUtamaKerajaan pastikan kebajikan, motivasi penjawat awam pada tahap tinggi

Kerajaan pastikan kebajikan, motivasi penjawat awam pada tahap tinggi

Read Time:2 Minute, 6 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri sentiasa menjaga kebajikan dan memastikan motivasi kira-kira 21,535 penjawat awam negeri sentiasa berada pada tahap yang tinggi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri berkaitan pelarasan gaji, kerajaan negeri turut melaksanakan pelarasan gaji melalui dua fasa iaitu pada bulan Disember tahun ini dan fasa kedua pada tahun 2026.

Katanya, usaha itu diambil sejajar dengan hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang pendapatan rakyat termasuk penjawat awam.

“Kerajaan negeri turut memberikan Bantuan Khas Kewangan sebanyak sebulan gaji atau minimum RM3,000 kepada semua penjawat awam negeri Sabah termasuklah yang berstatus Kontrak, Vot Terbuka dan Pekerja Sambilan Harian, yang akan dibayar pada bulan Januari 2025.

“Kita mengambil usaha ini kerana sedar bahawa penjawat awam negeri adalah nadi utama jentera dan pentadbir perkhidmatan Kerajaan,” katanya pada Majlis Makan Malam dan Pelancaran Laman Web Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di Hotel Promenade di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

Hajiji berkata, CUEPACS memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan corak dan arah perjuangan kesatuan sekerja dalam sektor awam di negara ini, termasuk di Sabah.

Justeru beliau berharap CUEPACS terus memberi sokongan padu terhadap apa jua inisiatif Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam usaha mengukuhkan tatakelola baik yang berintegriti serta bebas daripada gejala rasuah di setiap lapisan perkhidmatan, demi mencapai aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Gagasan Malaysia Madani.

Katanya, penjawat awam peringkat persekutuan dan negeri mempunyai peranan penting dalam membantu menjayakan setiap agenda kerajaan.

Beliau gembira kerana kepimpinan CUEPACS terdiri daripada mereka yang bertanggungjawab, matang dan sensitif terhadap kepentingan negara.

Menurutnya, CUEPACS juga telah membuktikan bahawa beberapa perkara yang dituntut berhubung dengan hak dan kepentingan kakitangan dalam perkhidmatan awam  seperti kenaikan gaji telah dapat diselesaikan.

“Tahniah kepada CUEPACS kerana telah berjaya bersama kerajaan menghasil Sistem Saraan Penjawat Awam (SSPA) bagi mengganti Sistem Saraan Malaysia (SSM) selain telah berjaya berjuang menuntut kenaikan gaji penjawat awam.

“Tuntutan ini dapat melegakan kadar perbelanjaan harian penjawat awam bagi menangani kos sara hidup yang meningkat setiap tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji bangga kerana CUEPACS Sabah membantu dan menjaga kebajikan penjawat awam di negeri ini.

Katanya, setakat September lalu, jumlah penjawat awam Persekutuan negeri Sabah seramai 126,668 orang, dengan 94,641 daripadanya adalah rakyat Sabah.

“Justeru saya akan sentiasa memberi kerja sama dengan penjawat awam Persekutuan dan ahli-ahli CUEPACS negeri ini. Kerajaan negeri juga sedia membantu sekiranya ada keperluan untuk menjayakan program di Sabah demi kebaikan penjawat awam negeri ini,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular