SANDAKAN: Seorang lelaki maut disambar dan dibaham buaya ketika melalui jambatan kayu di kawasan setinggan pembuangan sampah Batu 8 di sini pada Jumaat lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan Superintendan Ramasamy A/L Kuppan berkata mangsa berumur 28 tahun itu maut dibaham buaya di lokasi kejadian pada 13 Disember lalu jam lebih kurang 8.20 malam.
“Hasil siasatan polis mendapati pada masa kejadian mangsa berjalan ke rumah abangnya melalui jambatan kayu, ketika dalam perjalanan melalui jambatan tersebut mangsa telah disambar oleh seekor buaya.
“Mangsa sempat menjerit dan meminta pertolongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa ditemui oleh ahli keluarganya kira-kira 2 meter dari tempat kejadian pada 9.30 malam hari yang sama.
“Mayat mangsa terdapat kesan gigitan buaya di beberapa bahagian badan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk bedah siasat.
“Kes dikasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya.