HomeUtamaPERKESO Salur RM1.005 bilion Ke Sabah

PERKESO Salur RM1.005 bilion Ke Sabah

Read Time:2 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sabah telah menyalurkan sebanyak RM1.005 bilion kepada rakyat negeri ini dalam bentuk subsidi gaji, insentif pengambilan pekerjaan atau pun padanan caruman Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri menerusi pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan, sejak tahun lalu hingga September 2021.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ini adalah antara inisiatif yang diberikan PERKESO sejajar peranannya untuk menyediakan keselamatan sosial kepada rakyat Sabah bagi perlindungan terhadap bencana kerja, “keilatan” atau iaitu mengalami keuzuran berkekalan termasuk sebarang kematian dan kehilangan pekerjaan.

Hajiji berkata demikian ketika merasmikan Karnival e-Kerjaya PERKESO Sabah Tahun 2021 secara maya di sini, pada Sabtu.

Seperti program Karnival e-Kerjaya hari ini, katanya PERKESO melaksanakan inisiatif kerajaan di bawah program Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) demi kebaikan rakyat.

“Di bawah PEMULIH, ia sebagai inisiatif pemulihan ekonomi negara yang amat bijak bagi merangsang permintaan pekerjaan dalam kalangan majikan dan seterusnya meningkatkan peluang pekerjaan dalam kalangan pencari kerja tempatan termasuk golongan orang kurang upaya (OKU).

“Merujuk kepada statistik yang dikeluarkan PERKESO Sabah, seramai 7,141 orang telah berjaya kembali bekerja pada tahun 2020 manakala bagi bulan Januari hingga Ogos tahun ini pula, seramai 4,366 orang berjaya memperoleh pekerjaan.

“Jelaslah bahawa inisiatif yang diberikan kerajaan melalui PERKESO di bawah program PEMULIH memberi impak yang positif dan dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat termasuk di Sabah,” katanya.

Karnival e-Kerjaya PERKESO adalah kesinambungan usaha kerajaan Persekutuan dan negeri menerusi agensi PERKESO dalam menjayakan program PEMULIH bagi membantu rakyat, khususnya di negeri ini.

“Saya dimaklumkan lebih 3,000 kekosongan jawatan menanti dalam karnival sehari ini dan 30 majikan mengambil bahagian dalam program temuduga terbuka hari ini,” katanya sambil meminta rakyat Sabah merebut peluang itu kerana pelbagai kekosongan jawatan ditawarkan.

Selain karnival ini, banyak lagi inisiatif lain yang diberikan PERKESO khususnya kepada pencari kerja termasuklah MyFuture Jobs, program penjanaan kerjaya, insentif pengambilan pekerjaan, latihan penjana dan kerjaya GIG.

“Banyak manfaat diperoleh dengan mengikuti inisiatif yang disediakan PERKESO, seperti insentif pengambilan pekerjaan untuk 1.0 hingga 2.0 sejak tahun lalu hingga September tahun ini, untuk Sabah sahaja jumlah insentif adalah lebih RM22 juta berdasarkan Good For Payment atau bayaran faedah kepada mereka yang layak kepada lebih 8,000 pekerja yang digajikan di negeri ini,” katanya.

Berdasarkan statistik pencapaian PERKESO Sabah terutama sejak pandemik COVID-19 tahun lalu, jumlah pekerja aktif yang dilindungi sejak 2020 hingga April tahun ini adalah seramai 280,744 orang manakala majikan untuk tempoh yang sama adalah seramai 33,893.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular