Lebih Ramai Golongan Remaja Yang Layak Divaksin Hadir Ke PPV Ranau

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 50 Second

RANAU: Sambutan sangat menggalakkan dari golongan remaja hadir untuk mendapatkan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Ranau sejak 16 September lalu pengumuman pemberian vaksin kepada remaja berumur 12 hingga 17 tahun oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Semalam, tinjauan mendapati golongan remaja dan kebanyakannya pelajar-pelajar sekolah tiba seawal jam 7.00 pagi, diiringi ibubapa atau penjaga masing-masing  ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Ranau berjalan lancar dan teratur dengan adanya kerjasama padu para petugas terdiri daripada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pasukan petugas Sukarelawan Covid-19 Daerah Ranau.

Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah Ranau, selaku Ketua Penyelaras PPV, Dr Loganathan Salvaraji mengharapkan kepada ibubapa yang mempunyai anak remaja berumur 12 hingga 17 tahun supaya mendorong dan beri galakan kepada anak masing-masing untuk menerima vaksin Covid-19.

“Ibubapa yang mempunyai anak yang berumur 12 hingga 17 tahun harus bertanggungjawab untuk memastikan anak mereka tidak tercicir dari mengambil suntikan vaksin Covid-19 kerana ini adalah saranan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memantapkan tahap kesihatan anak-anak supaya terlindung dari jangkitan wabak ini,” kata Dr.Loganathan.

Dr Loganathan turut memaklumkan sasaran jumlah yang sepatutnya menerima vaksin di daerah Ranau adalah berjumlah 12,800 orang.

Dalam pada itu, pemberita sempat menemubual dua orang pelajar dari  Management Science University (MSU) Makmal Perubatan (MLT) Kota Kinabalu, Fennlya  Poul 23, Kg Waang Ranau dan Arilaris Jipli 22, dari Kg Suminimpod Ranau yang telah menjalani praktikal selama sebulan di PPV dewan Masyarakat Ranau sebagai petugas sukarelawan barisan hadapan sejak 28 Ogos 2021 hingga 24 September 2021.

“Walaupun agak letih tetapi pengalaman ini sangat berharga yang kami peroleh sepanjang bertugas sebagai barisan hadapan dalam membantu pengurusan  orang ramai dalam melaksanakan pemberian imunisasi vaksin Covid-19 di PPV ini,” kata fennlya.

Manakala Arilaris turut meluahkan rasa sangat berpuashati kerana dapat menyumbangkan sedikit bakti kepada penduduk Ranau bagi membantu memudahkan pemberian vaksin kepada mereka walaupun hanya sebulan mereka bertugas di sana.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *