KENINGAU: Seramai 100 orang pelajar di kawasan Parlimen Pensiangan yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S) menerima sumbangan pendidikan.
Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ia merupakan program tahunan yang telah diadakan sejak 11 tahun lalu.
“Dalam tempoh ini pelbagai pendekatan telah saya laksanakan contohnya bantuan yuran pengajian, biasiswa pendidikan, bantuan pakaian serta peralatan sekolah dan sebagainya.
“Program seumpama ini akan diteruskan setiap tahun sebagai motivasi kepada pelajar untuk mereka terus berusaha. Saya mengambil tanggungjawab untuk menyediakan yang terbaik demi masa depan anak-anak Pensiangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan pelajaran kepada pelajar cemerlang Parlimen Pensiangan disini hari ini.
Arthur yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, bagi mengatasi masalah capaian internet di Parlimen Pensiangan, sebanyak 46 menara telekomunikasi yang baharu sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada penghujung tahun 2022.
Katanya, apabila menara ini siap kelak penduduk akan dapat menikmati rangkaian telekomunikasi yang lebih baik serta akses kepada capaian internet yang lebih pantas.
“Selain itu, kerja-kerja menaik taraf jalan Sapulut ke Pekan Pagalungan secara berperingkat sehingga ke Pekan Pagalungan telah mula dilaksanakan. Ianya mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan.
“Dengan kerja-kerja menaik taraf jalan ini, jarak perjalanan dari Sapulut ke Pekan Pagalungan akan dapat disingkatkan dari 3 jam kepada 1 jam.
“Pastinya ia akan memberikan kegembiraan kepada ibu bapa dan guru kerana usaha ini pasti akan memudahkan urusan persekolahan anak-anak selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu, Arthur berkata, pihaknya juga sedang dalam usaha menaik taraf beberapa buah sekolah daif di Parlimen Pensiangan antaranya ialah SK Pekan Nabawan, SK Pekan Pensiangan, SK Sepulot, SK Ponontomon dan banyak lagi.
Katanya, ini bagi memastikan para pelajar serta guru mendapat kemudahan dan fasiliti yang lebih selesa.
“Tugas dan tanggungjawab kita adalah untuk menyediakan yang terbaik agar generasi yang cemerlang dapat dilahirkan demi pembinaan sebuah budaya bangsa.
“Kecemerlangan yang dikecapi hari ini pastinya akan membuahkan hasil untuk membawa perubahan terhadap ekonomi dan sosial masyarakat kita,” katanya.