Kota Kinabalu : Sook menjadi daerah terbaharu dilanda banjir dengan 212 mangsa daripada 70 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah itu setakat jam 8 malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan mangsa terjejas banjir seramai 683 orang melibatkan 186 keluarga termasuk di daerah Nabawan.
Menurut kenyataan itu, antara PPS yang dibuka di Sook adalah di Dewan Kampung Membulu yang menempatkan seramai 139 orang dan Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Keningau II seramai 73 orang.
Selain Sook, enam lagi PPS turut diaktifkan di Nabawan.
Antaranya di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Nabawan yang menempatkan seramai 149 mangsa melibatkan 34 keluarga; Dewan Kampung Bahagia (75 mangsa); Balai Budaya Kabangawong (50 orang) dan Balai Budaya Kampung Sarikan (66 mangsa).
Dua lagi PPS yang diaktifkan adalah di Balai Budaya Kampung Saupi yang menempatkan 51 mangsa dari 13 keluarga serta di SK Kampung Pandiwan – SABAH MEDIA / FOTO APM SABAH