Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Seramai enam keluarga dari Kampung Nelayan 1, Likas yang terjejas akibat perobohan rumah oleh pihak Rimdaya Sdn Bhd bakal ditempatkan semula di sebahagian kawasan tanah seluas dua ekar yang telah diwartakan sebagai tapak penempatan baharu.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tanah berkenaan yang terletak di bawah hak milik MLGH (Sabah) Sdn Bhd, dan bukannya Rimdaya Sdn Bhd, telah diisytiharkan pengambilannya di bawah Seksyen 3, Ordinan Pengambilan Tanah Bab 69 melalui Warta Kerajaan (G.N.210/2025) bertarikh 5 dan 12 Jun 2025.
“Surat kebenaran masuk kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi mengambil alih tapak serta surat tawaran pampasan kepada MLGH telah dikemukakan pada 30 Jun 2025,” katanya semasa menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, Azhar Datuk Matussin dalam Persidangan DUN Sabah Ke-16, di sini hari ini.
Azhar dalam soalannya bertanya mengenai status pemberian tanah satu ekar seperti yang telah dimaklumkan secara lisan oleh Ketua Menteri pada sidang Dewan 20 November 2024, bagi tujuan pembinaan semula rumah enam keluarga terlibat.
Menjawab soalan itu, Hajiji menjelaskan bahawa enam keluarga berkenaan boleh ditempatkan di sebahagian kawasan seluas dua ekar itu dan DBKK akan menyediakan pelan tata atur untuk penempatan mereka.
Menjawab soalan tambahan Azhar mengenai bila penduduk boleh mula berpindah ke kawasan tersebut, Hajiji menjelaskan ia bergantung kepada pelan susun atur yang sedang disediakan oleh DBKK.
Sementara itu, ADUN Senallang, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dalam soalan tambahannya membangkitkan kebimbangan sama ada kawasan yang dikenal pasti itu merupakan kawasan takungan air (water catchment) dan mengapa kawasan seperti itu masih dibenarkan untuk penempatan.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata beliau akan menyemak semula status kawasan berkenaan, namun berdasarkan maklumat awal yang diterima, ia telah diluluskan dan digazetkan untuk tujuan penempatan.



