Kota Kinabalu : Kerajaan negeri sedia dan sentiasa membuka pintu untuk bertemu dengan semua pempengaruh, pemain industri dan pengiat seni tempatan di negeri ini.
Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) Datuk Rosmadi Datu Sulai berkata, ia adalah bagi membincang isu- isu berbangkit sekali gus menambah baik industri kreatif negeri.
Justeru katanya, dakwaan kononnya pengiat industri kreatif tempatan diabaikan atau dipinggirkan seharusnya tidak timbul kerana kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk mendengar pendapat dan pandangan semua pihak.
“Anak-anak Sabah khususnya pempengaruh, pemain industri dan penggiat seni menjadi keutamaan untuk bersama-sama Borneo. TV, sebagai sebuah platform penstriman baharu yang mengetengahkan wajah, suara dan budaya negeri ke peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Rosmadi berkata, peluang keemasan untuk bersama-sama Borneo.TV perlu diambil oleh pempengaruh, pemain industri dan penggiat seni anak-anak tempatan Sabah.
Katanya, ini adalah bagi menyebarkan penceritaan Sabah beserta kejayaan dan daya tarikan di negeri Sabah selain dapat menarik minat penonton di seluruh dunia.
“Justeru, peluang yang ada ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak Sabah yang terlibat dalam industri kreatif dan ini juga akan membantu kerajaan negeri untuk membangunkan modal insan berkualiti di bidang penyiaran digital dan penstriman dalam kalangan anak-anak tempatan.
“Dengan pewujudan Borneo.TV ini, manfaat besar tentulah kepada syarikat-syarikat produksi anak-anak Sabah sendiri yang boleh menjadi penyedia kandungan atau content provider.
“Inilah masanya untuk merebut peluang yang ada untuk menghasilkan karya berkualiti sehingga mampu dipromosikan ke luar negara – menerusi platform Borneo.TV,” katanyaml.
Borneo.TV sebelum ini dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada 1 Julai lalu, dengan slogan “Cerita Sabah di Mata Dunia” (“Sabah in the Eyes of the World”).
Inisiatif ini bakal menjadi saluran utama menyampaikan kandungan sahih, dokumentari asli, seni budaya dan keindahan alam semula jadi Sabah melalui pendekatan digital yang lebih moden, fleksibel dan global. – SABAH MEDIA



