KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah memandang serius berhubung dakwaan seorang bekas pekerja wanita di Unit Perlindungan Hidupan Liar (WRU) terhadap satu penyataan di laman sosial facebook yang ditulis oleh salah seorang kakitangan di unit terbabit yang berunsur “gangguan seksual”.
Menterinya, Datuk Jafry Ariffin dalam satu kenyataannya hari ini berkata, Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) telah mengambil tindakan pada 20 Oktober 2021 ke atas kakitangan terbabit di bawah Peraturan-peraturan Pegawai Awam Negeri Sabah Bil. 225 (2) atas kesalahan di bawah peraturan 209(2)(a) dan 209(2)(b) kerana membuat penyataan bertulis yang bersifat gangguan seksual di halaman Facebook pada 18 oktober 2021 lalu.
Beliau akui, perbuatan itu telah mencemarkan nama baik perkhidmatan awam.
Dalam pada itu, berhubung satu lagi dakwaan bekas pekerja terbabit yang mengatakan bahawa wang Unit Perlindungan Hidupan Liar (SWRU) telah disalahguna, Jabatan telah meminta pencerahan daripada CEO Malaysian Palm Oil Council pada 8 March 2019. Menurut laporan yang diberi, pengunaan kewangan selain kegunaan kerja unit itu adalah dibenarkan mengikut kebijaksanaan pegawai yang mengawal kewangan.
Walau bagaimanapun, tindakan selanjutnya terhadap pegawai terlibat akan ditentukan dalam masa terdekat.
“KEPKAS sama sekali tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana staf yang mengambil kesempatan atau menyalahguna kuasa mereka sebagai staf kerana kementerian amat mengutamakan keselamatan, kebajikan, dan kualiti seluruh warganya, khususnya dalam mengamalkan budaya integriti dan profesional yang tinggi,” tegas Jafry.