HomeUtamaPolis Sabah tumpas sindiket dadah, rampas 20.7kg ketamin bernilai lebih RM1 juta

Polis Sabah tumpas sindiket dadah, rampas 20.7kg ketamin bernilai lebih RM1 juta

Read Time:2 Minute, 0 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga lelaki dan seorang wanita serta merampas dadah jenis ketamin seberat 20.7 kilogram bernilai lebih RM1 juta dalam beberapa siri serbuan di sekitar bandar raya ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, serbuan pertama dijalankan pada 4 September lalu kira-kira jam 12.15 tengah hari di sebuah premis syarikat kurier di Kepayan.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui dua karung berwarna hijau yang mengandungi 20 bungkus plastik bertulis Tie Guan Yin dan disyaki dadah jenis ketamin. Berat kasar keseluruhan rampasan ialah 20.7 kilogram dengan nilai dianggarkan RM1.035 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, hari ini.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 36 tahun yang juga pengurus syarikat kurier berkenaan ditahan dalam serbuan itu.

Beliau berkata, susulan tangkapan pertama, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 58 tahun yang juga pekerja syarikat kurier tersebut di kawasan Kepayan pada 5 September lalu.

“Pada hari sama, polis turut menahan seorang lelaki berusia 47 tahun iaitu pemilik syarikat kurier bersama isterinya berusia 46 tahun di IPK Sabah. Kesemua suspek ditahan reman sehingga 11 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Jauteh berkata, siasatan awal mendapati pengurus syarikat kurier berperanan menguruskan bekalan dadah sindiket dari Semenanjung ke Sabah menggunakan perkhidmatan penghantaran kargo udara.

“Pekerjanya pula dipercayai membantu meloloskan bungkusan dari gudang kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) manakala pemilik syarikat serta isterinya juga dipercayai mengetahui mengenai kegiatan berkenaan,” katanya.

Beliau menambah, rampasan dadah itu mampu menampung kira-kira 68,993 penagih bagi sekali penggunaan.

“Saringan awal air kencing mendapati hanya seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala yang lain negatif. Semakan rekod pula mendapati seorang suspek mempunyai kesalahan lampau,” katanya.

Dalam operasi itu, polis turut menyita pelbagai aset mewah termasuk sebuah Lamborghini Aventador, dua kereta Mercedes Benz, sebuah Toyota Alphard, sebuah Chevrolet Colorado, barangan elektrik, beg tangan berjenama dan wang tunai.

Jauteh menunjukkan kenderaan mewah pelbagai jenis yang dirampas daripada suspek dipercayai sindiket pengedaran dadah pada sidang media di sini, hari ini.

“Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan berjumlah RM4.2 juta,” jelasnya.

Jauteh menegaskan kejayaan itu adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah. Dadah adalah musuh nombor satu negara dan kami komited membanterasnya demi melindungi generasi kini dan masa depan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki didenda RM4,000 miliki produk tidak berdaftar, kosmetik tanpa notifikasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular