KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) muncul juara keseluruhan Sukan Muhibah Jabatan Ketua Menteri (JKM) 2025 selepas mendominasi carta pungutan pingat dengan 12 kutipan, termasuk sembilan pingat emas.
Kejayaan luar biasa DBKK itu meletakkan mereka jauh meninggalkan pesaing terdekat, Yayasan Sabah, yang meraih lapan pingat (2 emas, 3 perak, 3 gangsa).
Turut mencatat pencapaian membanggakan ialah JKM Perdana, Hutan dan Tankur yang masing-masing berkongsi kutipan enam pingat.
Walaupun JKM Perdana hanya ketinggalan dari segi bilangan emas, kontinjen Hutan dan Tankur menyerlah dengan sumbangan seimbang dalam acara perak dan gangsa.
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) pula menutup saingan di kedudukan keenam dengan lima pingat, sementara Sawit membawa pulang tiga pingat keseluruhan.
Penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan bagi mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Terdahulu, Nizam ketika membacakan teks ucapan Hajiji, beliau berkata, penjawat awam adalah aset utama kerajaan negeri dalam melaksanakan dasar yang digubal serta menterjemahkannya kepada tindakan konkrit demi kejayaan pembangunan Sabah.
Katanya, tanpa sokongan, komitmen dan kecekapan warga perkhidmatan awam, segala perancangan kerajaan termasuk pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) tidak akan dapat dicapai dengan berkesan.
“Saya percaya segala perancangan SMJ akan terlaksana dengan jayanya dengan bantuan para penjawat awam yang sihat, cergas dan cerdas.
“Mereka adalah aset utama kerajaan negeri yang memastikan setiap dasar diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya. – SABAH MEDIA



