PRN SABAH
HomePRNPRU Sabah : Akar umbi GRS mahu penyandang kerusi DUN Sebatik dikekalkan

PRU Sabah : Akar umbi GRS mahu penyandang kerusi DUN Sebatik dikekalkan

Read Time:2 Minute, 5 Second

Oleh Ahmad Husnayan

TAWAU: Pemimpin masyarakat dan jentera Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik sepakat mahu penyandangnya, Datuk Hassan A Gani Pg Amir, terus dicalonkan sebagai wakil Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sabah ke-17 akan datang.

Sokongan itu disuarakan secara terbuka oleh Ketua Daerah Kalabakan, Salleh Tahir, yang mewakili pemimpin masyarakat termasuk Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (WKN), Ketua Masyarakat Cina (KMC) serta 20 Ketua Kampung di Sebatik.

Menurut Salleh, kepimpinan tempatan sebulat suara mahu Datuk Hassan dikekalkan sebagai calon GRS kerana prestasi dan sumbangannya kepada rakyat di kawasan itu sepanjang lima tahun menjadi wakil rakyat.

Salleh

“Kami semua, termasuk ketua adat dan ketua kampung, sepakat menyokong agar Datuk Hassan terus dicalonkan mewakili GRS di DUN Sebatik.

“Beliau telah bekerja keras membantu masyarakat, membawa banyak pembangunan dan menjaga hubungan baik dengan semua kaum di sini,” katanya dalam sidang media, di sini pada Khamis.

Salleh turut memaklumkan, satu memorandum khas sokongan sedang disediakan untuk diserahkan kepada Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, bagi mempertahankan Datuk Hassan sebagai calon GRS di DUN Sebatik.

“Kami mahu memorandum ini jadi bukti suara rakyat di peringkat akar umbi. Kami mahu kesinambungan kepimpinan beliau diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Gagasan Rakyat Sebatik, Abd Mansah Abd Samad, berkata jentera parti di seluruh Sebatik turut bersatu hati menyokong Datuk Hassan.

“Kami di Gagasan Rakyat Sebatik kini mempunyai 7,041 ahli dengan 174 cawangan aktif. Semua ini hasil kerja keras Datuk Hassan sejak lima tahun lalu.

“Daripada tiada ahli dan tiada cawangan, beliau membangunkan parti sehingga ke tahap ini. Jadi tidak wajar usaha itu diketepikan hanya kerana ada calon baharu muncul,” katanya.

Menurut Abd Mansah, Datuk Hassan sudah membina hubungan erat dengan rakyat di peringkat akar umbi dan berjaya menarik ramai sokongan terhadap Gagasan Rakyat di kawasan itu.

Abd Mansah

“Kami yakin, kalau calon lain yang diletakkan, sokongan kepada parti boleh terjejas kerana rakyat Sebatik sudah kenal dan percaya kepada Datuk Hassan,” katanya

“Seluruh ahli dan ketua cawangan Gagasan Rakyat di Sebatik akan terus berdiri teguh di belakang Datuk Hassan selaku pemimpin yang berpengalaman dan dekat dengan rakyat.

“Kami mahu YAB Ketua Menteri mendengar suara kami ini. Suara daripada bawah, suara rakyat Sebatik yang mahukan Datuk Hassan terus menjadi calon GRS,” katanya.

Sokongan terbuka itu sekali gus memberi gambaran jelas bahawa akar umbi GRS di Sebatik mahukan kesinambungan kepimpinan sedia ada demi kestabilan politik dan pembangunan berterusan di kawasan tersebut. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Program Pembersihan Pantai Tahunan Ke-11 teguhkan komitmen FOSTER terhadap pemuliharaan penyu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular