Oleh Ahmad Husnayan
TAWAU: Seramai 29 calon mewakili parti-parti utama, parti tempatan dan calon Bebas sah bertanding bagi empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Kalabakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah Ke-17 selepas proses penamaan calon selesai pagi tadi.
Proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan SJK (C) Yuk Chin, Tawau, bermula tepat jam 9 pagi dan berjalan lancar tanpa sebarang pencalonan ditolak.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) Parlimen Kalabakan, Murad Abdul Rashid, mengumumkan senarai penuh calon pada jam 11.46 pagi.
DUN Kukusan mencatat saingan paling ramai apabila 10 calon disahkan bertanding. Penyandang, Datuk Rina Jainal, kembali mempertahankan kerusi berkenaan sebagai calon Bebas.
Turut bersaing ialah Ab Rahman Yahya (STAR), Samsiah Usman (GRS), Chaya Sulaiman (BN), Mariani Sulaiman (Parti Anak Negeri), Razik Muyong (Parti Impian Sabah), Ishak Ismail (Parti Perpaduan Rakyat Sabah), Francis Lawrence @ Yusof (PN), Ma’mun Sulaiman (WARISAN) dan Hairul Amin Arif (Bebas).

Sementara itu, DUN Tanjung Batu menyaksikan pertandingan lima penjuru melibatkan Ayuf Abdul Rahman (WARISAN), Ahmad Dullah (PN), Samasuddin Yusop (BN), Zanudin Mingo (Parti Impian Sabah) serta calon GRS, Dr. Andi Md Shamsulreezal Mohd Sainal, 38. Kerusi itu menarik perhatian kerana penyandangnya tidak mempertahankan kedudukannya pada PRU kali ini.
Di DUN Merotai, penyandang Sarifuddin Hata (WARISAN) berdepan saingan empat penjuru dengan Rhyme @ Reymie Kassim (Parti Impian Sabah), Hasan Haris (PN) dan Datuk Ruji Ubi (Pakatan Harapan) dalam usaha mengekalkan penguasaan Warisan di kawasan itu.
DUN Sebatik pula antara kerusi paling kompetitif apabila 10 calon tampil menawarkan diri. Penyandang, Datuk Hassan A Gani Pg Amir (GRS), berdepan cabaran daripada Datuk Seri Sahran Untai (Parti Anak Negeri), Manahing Tinggilani @ Tanggilani (WARISAN), Husni Frans (Bebas), Suhurani Sammani (PN), Aslan Fadli Samsul Alang (BN), Datuk Kadri Amat (STAR), Abdul Gaib Aliaman (Parti Impian Sabah), Ismail Idris (Parti Rumpun Sabah) dan Abu Bakar Kumun (Parti Perpaduan Rakyat Sabah).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh kempen selama 14 hari, bermula hari ini sehingga 11.59 malam, 28 November. Hari pengundian ditetapkan pada 29 November, manakala undi awal pada 25 November. – SABAH MEDIA



