PRN SABAH
HomeUtamaInkues Zara: ‘Saya tidak berniat untuk membuka aib sesiapa’ - Saksi

Inkues Zara: ‘Saya tidak berniat untuk membuka aib sesiapa’ – Saksi

Read Time:3 Minute, 25 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang guru menjelaskan bahawa beliau mengimbas dan berkongsi salinan diari Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir kepada empat individu lain bagi membantu siasatan dan bukannya untuk membuka aib sesiapa.

Yuslina Badrum, saksi ke-49 dalam inkues kematian Zara, berkata demikian ketika ditanya oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan sama ada beliau mempertimbangkan kesan perkongsian itu terhadap arwah yang sudah tidak dapat menjawab apa-apa.

Menjawab soalan lain, Yuslina berkata beliau juga tidak suka sekiranya barang privasinya diganggu, namun dalam kes ini tindakan tersebut diambil kerana mereka perlu melihat situasi daripada semua sudut bagi mencari penyelesaian terbaik.

Terdahulu, Koroner mengemukakan beberapa soalan selepas sesi soal jawab antara saksi, pegawai pengendali dan pihak-pihak berkepentingan selesai.

Koroner: Semalam cikgu ada mengatakan cikgu scan dan hantar isi kandungan diari. Saya cuma minta pengesahan untuk rekod mahkamah diari yang mana satu yang cikgu scan dan hantar kepada cikgu yang satu lagi?
Saksi: Diari berwarna ungu, hijau, coklat, dan helaian diari 15 helai.

Koroner: Maksudnya semua yang dijumpai.
Saksi: Betul.

Koroner: Kepada siapa cikgu serahkan?
Saksi: Cikgu Norasimah, Cikgu Azhari.

Koroner: Kesemua isi kandungan?
Saksi: Kesemua sekali.

Koroner: Dalam bentuk apa? PDF atau apa?
Saksi: Dalam bentuk PDF.

Koroner: Maknanya selain daripada cikgu yang scan keseluruhan isi kandungan diari dan juga helaian-helaian kertas, ada dua orang lagi yang cikgu tahu ada milikan ke atas salinan-salinan diari itu?
Saksi: Betul, dan saya ingin tambah, saya ada bagi juga kepada pentadbir sekolah.

Koroner: Siapa pentadbir itu?
Saksi: Pengetua dan juga Penolong Kanan HEM (Penolong Kanan Hal Ehwal Murid)

Koroner: Maksudnya, asalnya cikgu yang scan, semua isi kandungan, kemudian cikgu serahkan kepada empat lagi yang lain iaitu  Ustaz Azhari, Cikgu Norasimah, pengetua dan PK HEM
Saksi: Iya.

Koroner: Semasa cikgu mengimbas, dan juga sebelum share kepada pihak-pihak yang cikgu sebutkan, cikgu ada membaca semuanya?
Saksi: Ada.

Koroner:  Boleh mahkamah tahu persepsi cikgu tentang kesemua isi kandungan itu secara general?
Saksi: Secara general, sebab setiap buku itu ada dia punya main point lah saya rasa. Tapi secara umumnya, Zara merupakan seorang yang agak sukakan hidup. Contohnya dia sukakan persahabatan. Dia ada dua orang kawan baik setahu saya. Dia mahu berubah ke arah kebaikan dengan mencontohi seorang pengawas badar. Dia sangat mengkagumi pelajar ini. Dia ada juga sisi negatif lah yang dari pembacaan saya.

Koroner:  Maksudnya, apa yang ditulis semua hal-hal pribadi?
Saksi: Hal peribadi

Koroner:  Cikgu ada fikirkan kesan ke atas arwah yang tidak boleh jawab apa-apa, sebelum cikgu berkongsi kepada pihak-pihak yang lain tadi.
Saksi: Tindakan saya itu hanya untuk membantu kepada siasatan. Saya tidak berniat untuk membuka aib sesiapa.

Koroner:  Tetapi cikgu mesti bersetuju kan, empat pihak yang cikgu bagi itu bukan pihak autoriti?
Saksi: Saya rasa pentadbir adalah pihak yang patut tahu, yang perlu bertanggungjawab terhadap apa maklumat yang kami ada.

Koroner:  Betul, tetapi mereka cuma boleh tahu kewujudan diari dan bukan kontennya. Betul?
Saksi: Betul…

Koroner: Okaylah, akhir sekali, kalaulah, katalah barang yang dikongsi sebegini, cikgu punya, dan dikongsikan kepada pihak lain. Apa perasaan cikgu?
Saksi: Perasaan saya, memang saya tidak suka lah, bila barang privasi saya diganggu. Tetapi, dalam kes ini kita perlu tahu dari semua sudut lah, dan untuk mencari penyelesaian yang terbaik.

Sementara itu, Yuslina tidak bersetuju dengan peguam ibu Zara, Rizwandean M Borhan bahawa pihak guru sekolah mempunyai mindset untuk membuat kesimpulan bahawa Zara adalah seorang pelajar yang bermasalah.

Yuslina berkata tidak semua guru yang tahu mengenai perkara isi kandungan diari Zara dan semua guru terlibat ada berbincang bersama.

Yuslina bersetuju ada beberapa mukasurat diairi Zara telah dibocorkan kepada media sosial seperti TikTok, yang cuma menunjukkan bahan kandungan yang negatif saja. Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju ada seseorang dari pihak sekolah yang membocorkan diairi Zara untuk menjawab spekulasi warganet (netizen) di media sosial.

Saksi juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia tidak mengetahui siapa pemilik akaun TikTok @PlotTwistZara.

Yuslina merupakan Guru Bahasa Inggeris Lepas Menengah (Tingkatan 6) dan berkhidmat di SMKA Tun Datu Mustapha sejak 2 Februari 2015 dan juga merupakan warden asrama di sekolah tersebut. Kini, Yuslina bukan lagi warden asrama.

RELATED ARTICLES
Utama

Sahabat lama yang banyak berjasa – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular