BONGAWAN : Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan, Mohd Saidin Ibrahim menegaskan serangan peribadi terhadap Tan Sri Anifah Aman kerana hubungannya dengan keluarga Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, adalah tidak berasas dan tidak relevan.
Menurut Mohd Saidin, isu kekeluargaan tidak memberikan nilai dalam perbahasan politik dan hanya mengalihkan perhatian daripada masalah sebenar rakyat Bongawan.
“Dalam politik Sabah dan Malaysia, ramai tokoh politik berasal daripada keluarga yang sama, tetapi rakyat menilai berdasarkan rekod, pengalaman dan kemampuan mereka,” katanya.
Beliau menekankan bahawa rakyat Bongawan mahukan pemimpin yang mampu memberikan hasil nyata, bukan menilai berdasarkan siapa ahli keluarganya.
“Yang rakyat mahu lihat ialah kerja, prinsip dan hasil,” ujarnya.
Mohd Saidin berkata pengalaman Anifah selama sembilan tahun sebagai Menteri Luar, termasuk keberaniannya membawa isu MA63 ke Kabinet sebelum ia menjadi isu politik popular, membuktikan integriti dan dedikasinya terhadap hak Sabah.
“Bongawan memerlukan pemimpin berpengalaman yang faham realiti tempatan, mempunyai rangkaian hubungan, kepakaran, dan keberanian untuk membawa pembangunan, peluang pekerjaan dan infrastruktur terbaik kepada penduduk,” katanya.
Beliau menegaskan, GRS menumpukan fokus kepada isu pembangunan dan kesejahteraan rakyat, bukannya perkara remeh yang tidak memberi manfaat langsung. – SABAH MEDIA



