PRN SABAH
HomeUtamaPM Anwar lawat keluarga Allahyarham Bung Moktar

PM Anwar lawat keluarga Allahyarham Bung Moktar

Read Time:1 Minute, 9 Second

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi meluangkan masa menziarahi keluarga Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin di kediaman Allahyarham di Damai, di sini.

Dalam kenyataan di Facebook, Anwar menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada Sabah dan negara, khususnya atas khidmat baktinya yang panjang dalam pentadbiran, siyasah serta perjuangan membela rakyat.

Beliau turut mendoakan agar keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan roh Allahyarham dicucuri rahmat.

“Semoga keluarga Allahyarham dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang mencabar ini, dan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman,” katanya.

Hadir sama mengunjungi keluarga Allahyarham, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin, yang juga Setiausaha Sabah Umno.

Hajiji turut berkongsi bahawa pemergian Allahyarham meninggalkan kesan mendalam dan beliau mendoakan agar keluarga yang ditinggalkan diberi kekuatan dan ketabahan.

“Sesungguhnya, seluruh negara terkesan dengan pemergian Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. “Kita turut mendoakan supaya ahli keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan dan ketabahan,” katanya di laman Facebook.

Allahyarham Bung, bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Ahli Parlimen Kinabatangan meninggal dunia pada jam 1.46 pagi Jumaat selepas menerima rawatan di unit rawatan rapi akibat jangkitan paru-paru.

Pemergian beliau berlaku kurang seminggu selepas beliau dipilih semula sebagai ADUN Lamag dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah pada 29 November 2025.

RELATED ARTICLES
Utama

Liga Super : Sabah FC pamer kebangkitan, benam PDRM FC di...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular