BEAUFORT: Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) berjaya menghimpunkan kira-kira 700 perwakilan dan pemerhati dari seluruh negeri bagi melaksanakan pemilihan kepimpinan baharu sesi 2025–2028.
Presiden PBBS, Datuk Ruslan Muharam berkata, mesyuarat tersebut merupakan platform penting bagi menentukan hala tuju persatuan untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Selain itu katanya, mesyuarat itu juga dapat memperkukuhkan semangat perpaduan dan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat Bisaya.

“Proses pemilihan kepimpinan yang diadakan menekankan pendekatan kekeluargaan tanpa sebarang unsur perpecahan, selari dengan nilai dan budaya masyarakat Bisaya yang sentiasa mengutamakan keharmonian.
“Kita yakin pemilihan kali ini akan melahirkan satu gandingan kepimpinan yang mampu menggerakkan persatuan ke arah lebih maju, khususnya dalam membantu masyarakat Bisaya dalam pelbagai bidang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan MAT dan Pemilihan PBBS Kali Ke-33 bagi sesi 2025–2028 yang berlangsung di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Bisaya di sini pada Ahad.
Mesyuarat agung itu turut disertai oleh wakil-wakil cawangan PBBS dari beberapa daerah termasuk Kota Marudu, Keningau, Tenom, Sipitang, Kuala Penyu, Kota Kinabalu, Pedalaman Atas, Lumadan dan Klias.
Ruslan yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata, kehadiran yang memberangsangkan tanpa mengira imbuhan membuktikan kekuatan serta komitmen tinggi masyarakat Bisaya terhadap persatuan, selain mencerminkan semangat kerjasama dan perpaduan yang kukuh.
Selain pemilihan kepimpinan, Ruslan berkata, persatuan itu turut merangka perancangan bagi memperkasakan penglibatan golongan muda dalam persatuan, termasuk dalam aspek pendidikan, kepimpinan dan pembangunan inovasi, selaras dengan keperluan semasa.
Menurutnya lagi, mesyuarat itu sekali gus menjadi bukti kesungguhan masyarakat Bisaya untuk terus bersatu dan bergerak seiring dalam memajukan persatuan serta kesejahteraan komuniti mereka. – SABAH MEDIA



