HomeUtamaBila Projek Hidroeletrik Upper Padas Akan Mula Beroperasi - ADUN Tamparuli

Bila Projek Hidroeletrik Upper Padas Akan Mula Beroperasi – ADUN Tamparuli

Read Time:2 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU: Seorang Adun Kerajaan Membangkitkan persoalan mengenai Projek Hidroelektrik Upper Padas berkapasiti 187 megawatt (MW) yang dirancang sebagai antara penambahan utama penjanaan elektrik di Sabah namun masih belum memulakan sebarang kerja pembinaan.

Walaupun hampir dua tahun berlalu sejak majlis pecah tanah dilaksanakan pada akhir 2023 namun projek berkenaan gagal bergerak akibat Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) yang masih belum dimuktamadkan antara pihak pemaju dan Sabah Electricity.

Perkara itu dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli Datuk Seri Madius Tangau dalam perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini.

Katanya, rundingan PPA berdepan kebuntuan susulan perbezaan ketara kadar tarif, apabila pemaju mengemukakan cadangan sekitar 43 hingga 45 sen, berbanding kadar semasa Sabah Electricity yang berada sekitar 34 sen atau lebih rendah.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan perjanjian pembelian tenaga gagal ditandatangani sehingga kini.

“Ketiadaan PPA turut menghalang pemaju daripada mendapatkan pembiayaan institusi kewangan, sekali gus menyebabkan projek tidak bersifat bankable dan tidak dapat bergerak ke fasa pembinaan.

“Kelewatan Projek Upper Padas turut menimbulkan kebimbangan lebih besar kerana ia dikaitkan dengan projek loji rawatan air yang dirancang membekalkan sehingga 900 juta liter sehari (MLD) ke Pantai Barat Sabah,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya isu tarif tidak diselesaikan, dua masalah utama negeri iaitu bekalan air dan elektrik berisiko terus berlarutan.

Sehubungan itu, desakan dikemukakan supaya kerajaan negeri tidak terus menunggu dan mencari penyelesaian segera demi kepentingan rakyat serta kesinambungan projek strategik berkenaan.

Sementara itu Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, projek itu dijangka menjadi antara komponen utama dalam usaha menstabilkan Grid Sabah, khususnya bagi menyokong integrasi tenaga boleh baharu yang bersifat berubah-ubah seperti solar dan angin.

Katanya, projek berkapasiti 187 megawatt (MW) itu bukan sahaja menambah kapasiti penjanaan tenaga hijau, malah berperanan penting dalam mengurangkan kos penjanaan elektrik jangka panjang serta kebergantungan kepada diesel dan gas.

Menurutnya, projek yang dicadangkan di Sungai Padas itu kini berada di peringkat Kajian Kebolehlaksanaan (FS) selepas menerima kelulusan awal bersyarat atau Initial Letter of Notification (ILON) daripada Majlis Tenaga Sabah pada 28 Julai 2025.

“Kajian kebolehlaksanaan yang sedang dijalankan oleh Sabah Energy Corporation (SEC) akan menilai secara menyeluruh aspek teknikal, ekonomi serta kesesuaian projek terhadap sistem grid sedia ada sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

” Upper Padas turut dikenal pasti sebagai antara projek strategik yang menyokong pelaksanaan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) bagi meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik.

“Ini terutama apabila penggunaan tenaga boleh baharu berskala besar semakin meningkat di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini.

Joachim yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti berkata, projek ini dijangka menyumbang kepada sasaran Pelan Pembangunan Penjanaan (PDP) Sabah untuk mencapai sehingga 50 peratus kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2035.

Katanya, ia sekali gus mengukuhkan keselamatan tenaga dan daya tahan bekalan elektrik negeri.

RELATED ARTICLES
Utama

Syarikat didenda RM3,000 jual produk tidak berdaftar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular