Oleh J Evachel John
BELURAN: Penganjuran rumah terbuka Krismas di peringkat kampung menonjolkan kepimpinan kampung dalam menyatukan penduduk dan mengukuhkan semangat perpaduan komuniti.
Majlis yang dianjurkan di Kg Kuala Sapi, Beluran berjaya menghimpunkan penduduk kampung dalam suasana harmoni, sekaligus menjadi platform untuk komuniti meraikan perayaan sambil mengeratkan hubungan sosial antara penduduk.
Ketua Kampung Kg Kuala Sapi, Talsing Lambou, berkata rumah terbuka yang berlangsung di kediamannya kelmarin (26 Disember) dianjurkan atas inisiatif keluarganya dan atas kapasiti beliau sebagai Ketua Kampung.
“Tahun ini saya menganjurkan rumah terbuka ini untuk merayakan Krismas bersama penduduk. Walaupun sederhana, yang penting ialah semangat kebersamaan dan rasa kekitaan dalam kampung ini,” katanya, sambil berharap majlis ini dapat dijadikan acara tahunan.
Acara rumah terbuka Krismas itu turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Labuk, Datuk Samad Jambri, yang turun padang menyantuni penduduk, sekali gus menekankan hubungan baik antara kepimpinan kampung dan wakil rakyat.
“Kehadiran Adun Labuk amat bermakna dan menjadi kebanggaan kepada kami. Dalam kesibukannya, Datuk Samad sudi meluangkan masa untuk menyantuni orang kampung,” tambah beliau.

Sebagai kampung yang dikenali sebagai kampung contoh, Talsing berharap Kuala Sapi terus diperkasakan dari segi pembangunan fizikal dan keharmonian sosial.
“Saya berharap kampung ini terus maju dan menjadi contoh kepada kampung-kampung lain,” katanya.
Talsing mengakui beberapa cabaran yang dihadapi penduduk, termasuk isu pembuangan dan pelupusan sampah.
“Isu ini pernah saya suarakan sewaktu menjadi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), tetapi kekangan tertentu menghalang penyelesaian terbaik. Namun, kali ini, dengan sokongan Datuk Samad, saya yakin perkara ini dapat ditangani,” tambahnya.



