Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menegaskan komitmennya untuk memperbaiki sebarang kelemahan berkaitan fasiliti sukan di negeri ini.
Beliau berkata, ia bagi memastikan kemudahan sukan yang ada berada pada tahap selamat, selesa dan berfungsi dengan baik untuk atlet serta golongan belia
“Saya merupakan menteri yang baharu dilantik dan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu, saya telah menyatakan komitmen untuk memperbaiki apa sahaja kelemahan yang mungkin berlaku pada masa lalu.
“Mana yang baik akan kita teruskan dan mana yang perlu diperbaiki, kita akan perbetulkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis menandatangani kerjasama penganjuran Borneo International Marathon 2026 Kota Kinabalu di sini pada Jumaat.
Nizam berkata demikian bagi mengulas keadaan Dewan Gimnastik yang didakwa uzur dan tular di media sosial sejak semalam.
Berikutan itu katanya, pihaknya telah mengarahkan pengurusan Lembaga Sukan Negeri yang bertanggungjawab ke atas fasiliti sukan di Sabah supaya menjalankan pemeriksaan dan mengemukakan laporan segera.
Menurut beliau, kementerian memerlukan sedikit masa bagi menilai keseluruhan keadaan fasiliti sukan yang ada.
“Saya merancang untuk mengadakan lawatan ke seluruh Sabah bagi melihat sendiri keadaan kemudahan yang tersedia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menghargai peranan orang awam yang tampil menyuarakan aduan serta maklum balas, sambil menyifatkan masyarakat sebagai mata dan telinga kerajaan dalam usaha menambah baik pengurusan dan penyediaan fasiliti.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa peka dan membantu kerajaan menjadi lebih baik dalam menyelesaikan isu-isu yang timbul,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan bahawa kementerian bersama Lembaga Sukan Negeri sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dengan fokus utama kepada pembangunan belia, pemajuan sukan serta pengukuhan ekonomi kreatif di Sabah.
Tambahnya, usaha berterusan itu selari dengan hasrat untuk melahirkan golongan belia yang lebih berdikari serta mampu menyumbang kepada aspirasi menjadikan Sabah sebagai negeri sukan, di samping meningkatkan kemahiran kreatif rakyat bagi menjana pendapatan. – SABAH MEDIA



